Karangkraf taja 400 naskhah al-Quran untuk madrasah di Tanzania

Sukarelawan Salam, Muhammad Firdaus Al Musanna sedang mengagihkan naskhah al-Quran kepada salah seorang kanak-kanak di Madrasah Hashimia Kizimkazi.
Sukarelawan Salam, Muhammad Firdaus Al Musanna sedang mengagihkan naskhah al-Quran kepada salah seorang kanak-kanak di Madrasah Hashimia Kizimkazi.
A
A
A

ZANZIBAR - Sebanyak 400 naskhah al-Quran yang ditaja oleh Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd disumbangkan kepada Pejabat Mufti Zanzibar dan lima madrasah luar bandar di Tanzania baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Yayasan Salam Malaysia (Salam) menerusi tiga sukarelawan yang terlibat dengan Misi Kemanusiaan ke Tanzania iaitu Abdullah Fahim Mohd Yazid, Muhammad Firdaus Al Musanna Ahmad dan Mohammad Aariq Amirza.

Ahli Lembaga Pengarah yang juga Pemegang Amanah Salam, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid berkata, penyerahan sumbangan berkenaan dilakukan setelah lebih dua bulan berkampung di benua Afrika.

“Mereka telah berlepas sebelum Aidilfitri lagi tetapi memandangkan kapal yang membawa kontena berkenaan berlepas dari Pelabuhan Klang pada 19 Mei ke Zanzibar mengambil masa yang panjang untuk tiba disebabkan kesesakan di pelabuhan, jadi kapal yang membawa kontena berkenaan hanya tiba di Zanzibar dua minggu lalu.

Pendedahan ilmu agama dalam kalangan masyarakat di Tanzania diterapkan sejak usia kecil lagi.
Pendedahan ilmu agama dalam kalangan masyarakat di Tanzania diterapkan sejak usia kecil lagi.

“Menjelang Aidiladha, barulah sukarelawan ini dapat menyempurnakan hajat mereka mewakili penderma Malaysia kepada rakyat Tanzania,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, lima madrasah luar yang turut menerima sumbangan berkenaan adalah Madrasah Undhur di daerah Bumbwini, Madrasatul Mubaaraka di daerah Mtende, Madrasat Irshadia di daerah Mwanda, Madrasatu Hashimia di daerah Kizimkazi dan Madrasatil Nurul Huda di daerah Kibeni.

Sementara itu, Setiausaha Pejabat Mufti Zanzibar, Sheikh Fadhli Suleiman Soraga berkata, pihaknya usaha pihak yang terlibat dalam penajaan 400 naskhah al-Quran itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pejabatnya akan mengagihkan naskhah al-Quran itu kepada pihak yang memerlukan.

Dalam pada itu, Pengetua Madrasah Undhur, Abdullah Muhammad pula berkata, sumbangan al-Quran itu begitu bermakna kepada mereka dan ia dianggap satu rezeki yang besar.

Biarpun pendapatan mereka tidak seberapa tetapi ibu bapa di sini tetap menghantar anak-anak menuntut ilmu di madrasah.
Biarpun pendapatan mereka tidak seberapa tetapi ibu bapa di sini tetap menghantar anak-anak menuntut ilmu di madrasah.

“Biarpun gaji purata penduduk kawasan ini adalah dalam RM4 sehari, cukup untuk makan seharian tetapi mereka mementingkan pendidikan agama sejak usia kecil lagi.

“Di sini ramai yang tidak mampu membeli al-Quran. Mereka hanya menggunakan al-Quran yang lusuh dan ada yang tidak lengkap,” kongsinya.

Katanya, keadaan itu ialah cabaran yang besar kepada guru dan pihak madrasah untuk mengajar dan membimbing anak-anak mengenai Islam.

Untuk rekod, misi kemanusiaan Tanzania itu turut dibantu oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan Tanzania termasuk Arasy Relief dan Muzdalifah Islamic Charitable Organisation.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!