Warga Bangladesh rasuah polis dijel 7 bulan

Tertuduh (kanan) dikawal anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di lokap Mahkamah Kota Bharu hari ini.
Tertuduh (kanan) dikawal anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di lokap Mahkamah Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki warga Bangladesh dihukum penjara tujuh bulan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan memberi rasuah RM900 kepada seorang pegawai kanan polis Mei lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Sulal Barua, 45, selepas tertuduh mengaku salah atas dua tuduhan pilihan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Mei 2019.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, tertuduh didakwa menawarkan rasuah RM600 kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Asisten Superintendan Hamdan Ali Hassan di Terminal Bas Lembah Sireh di sini antara jam 7.30 pagi hingga 8 pagi 20 Mei lalu.

Pada pertuduhan pilihan kedua, tertuduh didakwa memberi rasuah RM900 kepada pegawai sama dalam sebuah kereta jenis Proton Wira ketika dalam perjalanan ke IPD Kota Bharu di kawasan Baung Jalan Kuala Krai, Pengkalan Chepa pada jam 10.05 pagi, tarikh sama.

Rasuah sebagai dorongan untuk berbuat sesuatu yang berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu membebaskan tertuduh yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26 J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sekiranya kesalahan boleh diseksa dengan penjara tidak sampai 10 tahun hendaklah diseksa dengan penjara dalam tempoh maksimum 1/4 daripada tempoh penjara yang lama sekali yang diperuntukkan bagi kesalahan itu atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh dihukum penjara lima bulan manakala kesalahan kedua penjara tujuh bulan dan diarah berkuat kuasa serentak.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Adha Amir Yasser Amri manakala tertuduh diwakili peguam Siti Syaerah Meor Zul-kefli ‘Auni.

Berdasarkan fakta kes, maklumat dan risikan polis melakukan Ops Pintas di Terminal Bas Lembah Sireh dan mendapati beberapa warga Bangladesh tiba dan dilihat berurusan dengan tertuduh.

Anggota kemudian menahan kesemua mereka dan tertuduh yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia.

Tertuduh mendekati pengadu dan menawarkan rasuah wang tunai RM100 kemudian RM500 dan perbuatan ditegur pegawai berkenaan namun tidak diendahkannya. Tertuduh sekali lagi menawarkan pula rasuah RM1,000 kepada pengadu.

Pengadu kemudian merampas kesemua wang tersebut untuk tindakan lanjut terhadap tertuduh dan mengira wang tersebut berjumlah RM900.

Terdahulu Siti Syaerah memohon hukuman terhadap anak guamnya itu diringankan kerana hanya bekerja sebagai buruh binaan dan penanggung tunggal isteri serta dua anaknya yang tinggal di Bangladesh.

Ahmad Adha Amir bagaimanapun mohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan.

“Kesalahan menawarkan dan memberi rasuah diperangi dan dibenci masyarakat di negara ni. Saya mohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulanginya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!