Simposium cari solusi elak insiden mendapan
MELAKA TENGAH - Pembangunan di sepanjang pantai barat dan timur semenanjung Malaysia yang bertekstur tanah liat lembut berisiko berlaku mendapan dan keretakan.
Ahli Bersekutu Kumpulan Penyelidikan Jabatan Geotenik dan Pengangkutan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Khairul Anuar Kassim berkata, kebanyakan kawasan itu adalah tanah lembut dengan ketebalan sehingga 20 hingga 30 meter tebal namun keadaan itu juga boleh berlaku di kawasan bandar seperti di Melaka Sentral, Melaka.
Menurutnya, kerana itu pentingnya kaedah yang terbaik termasuk memerlukan kerja-kerja pemasangan cerucuk hingga sampai ke lapisan kukuh bagi menggelakkan struktur bangunan berlaku mendapan.
"Kawasan-kawasan yang tidak ada cerucuk akan selalu mendap dan bila kita buat perkongsian seperti ini ada beberapa industri yang menggunakan buluh sebagai cerucuk.
"Kaedah ini ada kalanya menelan kos tinggi dan juga kos rendah. Kita cuba jadi orang tengah untuk mencari jalan bagaimana kita dapat mengurangkan kos dari segi masalah mendapan," katanya.
Khairul Anuar berkata demikian kepada pemberita ketika program International Symposium on soft groubd improvement, Geotropik -Sogi 2019 yang disempurnakan
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew mewakili Ketua Menteri di Plaza Ramadan di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Pusat Geotropik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad.
Tambahnya, menerusi program itu pihaknya dapat mengenal pasti beberapa solusi yang boleh digunapakai bagi menghalang berlaku insiden mendapan sama ada menggunakan buluh, fiber ataupun bahan buangan yang boleh digunakan bagi pembinaan sekali gus dapat mengurangkan kesan pembuangan bahan-bahan tersebut.
"Itu antara solusi yang kita boleh kongsi dan yang penting kita ingin melihat kos yang berpatutan dan kaedah yang efektif bagi mengurangkan serta menghalang mendapan berlaku," katanya.
Sementara itu, Edy Tonnizam berkata, pada penganjuran kali ini pihaknya berjaya membawa beberapa pakar dari dalam dan luar negara yang berpengalaman berpuluh tahun dalam bidang itu bagi menyelesaikan permasalahan tanah lembut.
"Jadi kita cuba bawa mereka ke Malaysia ada yang dari Indonesia, Jepun dan Cina yang mana bukan sahaja melihat pada teori namun juga melihat pada cara terus praktikal kaedah untuk menyelesaikan masalah itu," katanya.
Kira-kira 200 orang menghadiri simposium itu yang diadakan selama dua hari hingga esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!