Pelayan sembunyi duit doktor didenda

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelayan kedai makan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah menyembunyikan RM9,500 milik seorang doktor di dalam akaunnya, Julai lalu.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membuat keputusan itu terhadap Mok Ji Soon selepas mensabitkannya terhadap tiga pertuduhan.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Ji Soon diperintah menjalani menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Ji Soon mengaku menyembunyikan wang tersebut daripada akaun Maybank milik Hana Mariah Saim kepada akaun miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital Sungai Buloh, jam 1.41 petang pada 16 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamuddin Abdul Rahman mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang berada di bilik bedah hospital berkenaan menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN dengan mengatakan syarikat yang didaftarkan di atas nama pengadu mempunyai tunggakan cukai RM17,000.

Panggilan tersebut kemudiannya di sambungkan kepada 'pegawai polis' dan dimaklumkan mangsa telah terlibat dengan pengedaran dadah selain menyatakan akaun CIMB dibekukan.

Artikel Berkaitan:

Untuk menyelesaikan masalah tersebut, doktor tersebut diarahkan untuk menyerahkan kata nama dan kata kunci perbankan atas talian sebelum menyedari terdapat pemindahan RM39,500 daripada akaun Maybank dan Ambank.