Sila log masuk terlebih dahulu.
- Iklan -

Kit Siang kesal kenyataan diputarbelit

05 Ogos 2019 | Sinar PM
A
A
A
1- Kit Siang kesal kenyataan diputarbelit

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa seseorang perlu belajar tulisan jawi untuk menjadi rakyat Malaysia.

Menurutnya, tulisan beliau di blognya semalam berhubung kontroversi pengenalan tulisan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah mulai tahun depan telah disalah tafsir.

Katanya, beliau memberitahu pernah mempelajari tulisan jawi sewaktu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1969, namun perkara itu tidak pernah mengurangkan identiti Cina dalam dirinya.

Bagaimanapun katanya, tidak ada paksaan dalam pembelajaran bahasa lain.

Terdahulu, Kit Siang di blognya menulis belajar tulisan jawi tidak akan menyebabkan orang Cina mengkhianati bangsa, bahasa dan kebudayaan mereka.

2- Usah buang masa kumpul tandatangan sokong Anwar

Ketua Wanita PKR Haniza Talha menyifatkan tindakan mengumpul tandatangan ketua cabang parti itu di seluruh negara sebagai tanda sokongan kepada presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai buang masa.

Sebaliknya, beliau berkata langkah tersebut hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan akar umbi.

Semalam, Ketua PKR Kangar Noor Amin Ahmad mendakwa seramai 198 ketua cabang parti itu menyokong penuh Anwar sebagai calon perdana menteri ke lapan.

Bagaimanapun, Haniza menepis dakwaan Noor Amin itu, mengatakan jumlah itu tidak tepat kerana terdapat di kalangan ketua cabang PKR yang tidak dihubungi bagi menyatakan sokongan tersebut.

3- Ismail Kassim masuk Bersatu bukan kerana pangkat

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim menegaskan beliau masuk Bersatu bukan kerana mahu mengejar pangkat, apatah lagi untuk sekali lagi dicalonkan sebagai calon menteri besar Perlis.

Malah, Ismail yang juga adik Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perkara itu sama sekali tidak akan berlaku meskipun terdapat permintaan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad sekali pun.

Beliau keluar Umno pada Jun tahun lalu di tengah-tengah perselisihan dengan pimpinan Umno pusat yang enggan menyokongnya selepas Raja Perlis menolak Ismail sebagai calon menteri besar.

Sejak itu, beliau menjadi Adun bebas.

4-Permohonan maaf tak selesaikan isu pencemaran Pasir Gudang

'Ia tidak lebih dari sekadar mohon maaf', itu reaksi Naib Presiden UMNO terhadap permohonan maaf Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika sesi townhall isu-isu semasa Pasir Gudang semalam.

Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled, kenyataan Sahruddin itu tidak disusuli dengan penjelasan agar tragedi sama tidak berulang.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, walaupun kesal dan berasakan sudah terlambat, beliau percaya Menteri Besar kini bersedia untuk berhadapan dan menguruskan perkara itu dengan cara lebih terbuka.

5-Raja Ular Perlis sedar dari koma

Raja Ular Perlis yang koma sejak Sabtu lalu selepas dipatuk ular tedung selar di tempat kerjanya telah sedarkan diri sejak tengah hari semalam.

Nur Syazana Salim , berkata, suaminya Muhammad Hafiz Alias, menunjukkan perubahan positif apabila mampu berkomunikasi dan mengenali ahli keluarga yang melawatnya.

Menurutnya, ketika ini suaminya perlu berpuasa dan bergantung kepada ubat yang dimasukkan oleh doktor.