Teliti kawasan perindustrian baharu di Johor
JOHOR BAHRU - Perbincangan untuk melihat kembali kedudukan kilang yang berada di kawasan Pasir Gudang khususnya berisiko tinggi kepada penduduk, telah dimulakan.
Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir berkata, bagi tujuan itu, usaha mengenal pasti lokasi sesuai bagi mewujudkan kawasan perindustrian baharu perlu diteliti.
"Memang kita telah pun memulakan perbincangan ke arah itu kerana kita perlu lihat kilang apa sebenarnya yang amat berisiko tinggi kepada komuniti di sekitar Pasir Gudang.
"Bagi mengenal pasti kawasan-kawasan baharu untuk tujuan kilang-kilang kimia ini, tidak semestinya dalam daerah Johor Bahru tetapi di kawasan yang sesuai.
"Bagi mengenal pasti kawasan itu, kita kena tengok mana kawasan yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Daerah Johor Bahru di Komtar JBCC di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengenai usaha mewujudkan kawasan perindustrian baharu di luar Pasir Gudang, semalam.
Mohammed Ridha berkata, usaha tersebut juga berkemungkinan mengambil kira soal penempatan kilang-kilang kimia dalam jumlah besar di sesuatu kawasan yang dilihat tidak lagi praktikal pada masa ini.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada penilaian dan cadangan yang akan dikemukakan hasil daripada kajian dilakukan sebelum syor berkaitan dibentangkan kepada kerajaan negeri.
"Kita ambil kira semua kemungkinan, cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh pasukan yang menyelidik dan kita syorkan kepada kerajaan nanti apabila cadangan-cadangan itu kita terima.
"Buat masa ini, kita tidak ada keputusan sebegitu (penempatan semula kilang di Pasir Gudang ke kawasan baharu) tetapi cadangan untuk mewujudkan kawasan perindustrian baharu, memang ada," katanya.
Beliau berkata, kesemua perkara itu termasuklah cadangan berkaitan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kesejahteraan Pasir Gudang dari semasa ke semasa.
"Sebab itu kita tengok apa cadangan jawatankuasa. Selepas kita terima cadangan-cadangan itu, barulah kita buat keputusan. Buat masa ini kita belum lagi menerima apa-apa cadangan dan masih lagi di peringkat kajian.
"Sekiranya kajian itu telah dimuktamadkan dan kita dapat cadangan-cadangan daripada jawatankuasa, barulah kita pertimbangkan apa yang perlu kita ambil keputusan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Johor sedia wujudkan kawasan perindustrian baharu: MB
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!