Menteri pun ada buat silap!

A
A
A
ENAM bulan setelah diuar-uarkan sebagai Malaysia Baharu, semakin jelas nampak ada yang tidak kena dengan kerajaan PH! Dalam kalangan sesama anggota Kabinet macam tidak sebulu. Ada menteri yang tidak puas hati dengan dasar yang dibuat oleh menteri lain.

Pada peringkat yang lebih serius, ada menteri yang lantang dan terang-terang menyuruh menteri lain meletak jawatan.

Dan semua rasa tidak sehaluan dan marah-marah sesama Ahli-Ahli Yang Berhormat itu diluahkan secara terbuka, menerusi media.

Memang ada baiknya sesama mereka menyatakan pendapat berbeza. Malah, digalakkan mereka mengkritik antara satu dengan lain. Itulah demokrasi.

Tetapi melepaskan perasaan secara terbuka menerusi media – termasuk media sosial – rasanya tidak sesuai, walaupun itu tidak bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Hakikatnya ialah sebagai anggota Kabinet mereka mempunyai forum yang lebih sesuai – mesyuarat jemaah menteri – untuk meluahkan apa juga rasa tidak puas hati terhadap mana-mana kementerian.

Pada mesyuarat seperti inilah mereka sepatutnya secara ikhlas menyuarakan apa yang terbuku di hati. Hatta sekiranya ada hal-hal peribadi pun mesyuarat mingguan inilah tempat mengadu.

Apa juga yang diputuskan pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, adalah rahsia dalaman yang tidak boleh dihebohkan.

Maka menghentam sesama menteri menerusi media, samalah seperti mendedahkan rahsia dalam kelambu kepada umum. Patutkah hal-hal dalam selimut diumumkan kepada rakyat?
Artikel Berkaitan:


Ini ada kaitan dengan kewibawaan. Apabila menteri sama menteri pun sering dilihat bercakaran dan tidak sehaluan, bagaimana rakyat hendak meletakkan keyakinan?

Apabila menteri bergaduh sesama sendiri, masing-masing dilihat sebagai hendak mempromosi diri, siapa pula yang hendak memperjuangkan rakyat?

Meski belum setahun jagung, rakyat yang prihatin telah mengesan perkara-perkara tidak baik berlaku dalam Kabinet yang masih hijau. Sepatutnya bibit-bibit negatif seperti inilah yang mesti diambil perhatian dan seboleh-bolehnya dielakkan oleh mana-mana menteri dalam kerajaan.

Persepakatan dalam Kabinet hendaklah dijelmakan dalam perbuatan, sebab sekiranya Kabinet pun dilihat rapuh dan retak di sana-sini pasti rakyat bingung.

Dalam pada itu ada menteri bercakap seolah-olah mereka tidak tahu apa yang dicakapkan. Ada kemungkinan mereka bercakap atau mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian.

Cakap ikut sedap mulut, tanpa terlebih dulu meneliti akibat dan kesannya. Sebab itu apa yang katakan itu sering bercanggah tiada ketentuan. Sudah kerap terjadi apa yang dicakapkan tidak dapat dilaksanakan dan terpaksa diubah. Malah, ada yang dicakapkan sebelah pagi, sebelah petang diubah menjadi lain.

Sebab itu tabiat membuat pusingan-U dalam kalangan sesetengah menteri sekarang adalah dianggap biasa, sudah menjadi bahan lawak. Soalnya: sampai bila kita hendak berlawak-lawak?

Orang ramai terus memerhati, dan mula muak dengan siri ‘Maharaja Lawak’ di pentas terbuka ini!

Menjadi kebiasaan sesetengah menteri juga untuk menyalahkan wartawan apabila kenyataan mereka disiarkan media. Mereka menuduh: wartawan tersilap lapor, tersilap petik, salah fakta.

Maka teringat saya nostalgia silam, ketika saya mula-mula menjadi orang surat khabar, kira-kira empat dekad dulu. Ketika itu pun ada seorang menteri yang selalu marah-marah pada wartawan.

Mereka bersemangat bercakap dalam sidang media, tanpa sedikit pun memikirkan apa akibat daripada kata-kata bersemangat itu.

Apabila kenyataan disiarkan dan ada yang tidak setuju dengan apa yang tersiar itu, menteri berkenaan dengan mudah berkata: “silap petik!”

Malah biasa juga wartawan atau media dituduh sengaja “memesongkan fakta”, atau “tidak bertanggungjawab”, atau “mempunyai agenda tertentu.” Bezanya wartawan dulu-dulu selalu dalam keadaan tidak dapat mempertahan diri sebab apa yang dikatakan oleh menteri hanya ditulis atau dicatat di atas kertas.

Sering kali tulisan semacam cakar ayam dalam buku nota itu dianggap sebagai tidak sahih, membolehkan menteri dengan mudah mengecap wartawan sebagai salah fakta. Tetapi hari ini setiap wartawan tidak lagi menulis nota. Apa yang dikatakan oleh menteri akan dirakam, malah divideokan menggunakan gajet.

Memang ada sekali-sekala wartawan tersilap petik atau tersilap lapor. Tetapi lebih kerap menteri yang tersalah cakap – atau terlepas cakap – seperti yang dibuktikan menerusi rakaman video.

Maka selain cepat menuduh wartawan tersilap lapor, menteri sendiri mestilah jangan tersilap cakap. Tidak kira dengan sesiapa, lebih-lebih lagi dengan media, menteri hendaklah berfikir dulu sebelum bercakap.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!