Fikir biasa dan fikir falsafah

A
A
A

BILA anda gagal dalam SPM, siapa yang patut disalahkan? Fikir biasa akan jawab, anda yang bodoh. Fikir biasa akan jawab, guru anda tak pandai ajar. Tetapi fikir falsafah akan cabar soalan itu sendiri. Mengapa salahkan 'siapa' dan bukan 'apa?'

Sistem pendidikan bukan sesuatu yang bersifat wahyu yang diwahyukan. Ia adalah hasil proses syura demi syura antara para pendidik yang terpilih oleh Kementerian Pelajaran sesebuah negara.

Bayangkan kalau syura ini terdiri daripada para pendidik LGBT, maka sudah tentu pelajar-pelajar akan dididik menerima gay sebagai fitrah semula jadi. Bayangkan seorang pelajar di sekolah menjawab bahawa gay adalah berlawanan dengan fitrah kemanusiaan, maka sudah tentu dia akan digagalkan!

Dalam kes ini, kita timbulkan balik persoalan iaitu bila pelajar ini gagal dalam peperiksaan, siapa yang patut disalahkan? Pelajar itu sendiri? Gurunya? Atau sistem pendidikan yang berlandaskan satu FALSAFAH tertentu tentang makna 'Hak Asasi Manusia'.

Fikir falsafah akan terus berusaha meneroka ke akar masalah dengan menimbulkan keraguan sistematik. Apakah makna keraguan sistematik?

Langkah permulaan dalam keraguan sistematik ialah kita pecahkan frasa 'Hak Asasi Manusia' kepada tiga elemen dan kita persoalkan makna ketiga-tiga elemen ini. Apakah makna hak? Apakah makna asasi? Apakah makna manusia?

Kerana artikel saya ini pendek, kita pilih satu soalan sahaja iaitu: Apakah makna menjadi manusia?

Fikir biasa akan jawab dengan mudah bahawa menjadi manusia maknanya adalah berbakti kepada negara! Binatang tak tahu berbakti kepada negara sebab ia tak tahu apa itu warganegara!

Artikel Berkaitan:

Fikir falsafah akan terlebih dahulu timbulkan persoalan-persoalan dalam skop yang lebih luas. Apakah makna 'MENJADI' manusia? Apakah makna 'MENJADI' binatang? Apakah makna 'MENJADI' warganegara? Ketiga-tiga persoalan ini mengandungi perkataan 'MENJADI'.

Maka, keraguan sistematik terus meneroka dengan persoalan baru iaitu Apakah makna 'KE-MENJADI: AN'?

Istilah kemenjadian memanglah pelik. Bidang ilmu falsafah memang banyak perkataan luar biasa peliknya tetapi maknanya sebenarnya mudah sahaja bila ilmu falsafah diurus dengan sistematik.

Inilah yang dikenali sebagai kajian ontologi dalam ilmu falsafah iaitu satu kajian tentang makna kemenjadian (being). Ada yang terjemahkan sebagai kewujudan.

Dalam kajian sifat 20 ketuhanan, sifat yang pertama ialah wujud. Ini adalah kajian ontologi yang banyak berkait dengan bidang falsafah walaupun ramai yang tidak tahu.

Ahli Falsafah Aristotle dan Ibnu Sina menerajui dalam perbahasan tentang kemenjadian dan wujud. Ada yang membezakan antara kemenjadian atau 'kaun' (being) dan wujud (existence). Kita lihat kajian sifat 20 juga membezakan wujud dan kaun.

Ulama-ulama falsafah Muslim dulu adalah peneraju dalam membina wacana global dan mengkaji keraguan secara sistematik sampai ke akar masalah. Jauh beza dengan zaman sekarang di mana kita takut atau malas untuk berfikir sedalam-dalamnya!

Sebenarnya menarik untuk mengkaji makna kemenjadian walaupun terdapat khilaf. Kita ambil Aristotle sebagai contoh. Bila fikir biasa berkata, bahawa menjadi manusia itu bermakna berbakti kepada negara, mazhab Aristotle akan menimbulkan keraguan terhadap kenyataan ini dengan soalan berikut: Kalau Plato tidak berbakti kepada negara, maka adakah dia tidak lagi menjadi manusia?

Mazhab Aristotle akan jawab bahawa Plato masih lagi seorang manusia walaupun dia tidak berbakti kepada negara. Ini adalah kerana sifat berbakti kepada negara bukan merupakan dzat (essence) manusia. Ia hanyalah sesuatu tambahan (accident).

Kalau Plato hari ini memakai cermin mata dan esok dia tidak lagi memakai cermin mata, ia tidak ada kena-mengena dengan dzat Plato sebagai manusia. Plato tetap menjadi manusia sama ada dia pakai cermin mata atau tidak kerana bercermin mata itu hanyalah satu tambahan.

Sekarang kita tiba pula persoalan apakah itu dzat manusia? Perbahasannya tidak berhenti di sini kerana ini melibatkan ilmu Mantiq yang mengkaji tentang makna 'dzat' secara mendalam!

Secara kesimpulannya, fikir biasa melihat dunia pada zahirnya sahaja. Tetapi fikir falsafah adalah penerokaan akal ke akar umbi persoalan.* Xifu Naser Tun Rahman ialah Ketua Kluster Sidang Budaya NUIM-Yadim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!