Penyokong fanatik Trump dijel 20 tahun gara-gara hantar bom
NEW YORK - Seorang penyokong fanatik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana menghantar bom kepada pemimpin terkenal Parti Demokrat termasuk bekas presiden Barack Obama dan bekas calon presiden, Hillary Clinton pada Oktober tahun lalu.
Selain itu, jutawan George Soros, bekas presiden, Bill Clinton, bekas naib presiden, Joe Biden, pelakon, Robert De Niro dan agensi berita CNN turut menjadi sasaran Cesar Sayoc yang mengaku bersalah pada Mac lalu terhadap 65 tuduhan berkaitan 16 pakej bom yang dihantarnya dari sebuah pejabat pos di Florida.
Sayoc ditahan di Florida pada Oktober tahun lalu, lima hari selepas peranti pertama ditemukan dalam peti surat di kediaman George Soros di New York.
"Saya akan memohon maaf kepada mangsa sepanjang hidup saya," kata Sayoc yang menangis ketika hukuman dibacakan Hakim Daerah, Jed Rakoff di sebuah mahkamah di New York semalam.
Dalam keputusannya, hakim menolak hujah pihak pembelaan yang mengatakan
Sayoc tidak berfikir secara rasional akibat pengaruh steroid yang mencetuskan paranoia, Rakoff sebaliknya bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa Sayoc berniat untuk mencederakan dan bukan sekadar menakutkan mangsanya.
Lelaki berusia 57 tahun itu mengaku membuat bom tersebut menggunakan material termasuk paip plastik, jam penggera digital dilengkapi pendawaian elektrik dan serpihan bunga api serta kaca.
Tiada bom yang dihantar meletup dan kebanyakannya tidak sampai kepada sasaran namun ia mencetuskan panik dan ketegangan politik ketika AS sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya pertengahan penggal pada November tahun lalu.
Kes Sayoc menimbulkan perdebatan tentang ekstremisme di era pemerintahan Trump yang sekali lagi digemparkan dengan dua insiden tembakan rambang di Texas dan Ohio yang mengorbankan 29 nyawa dan mencederakan berpuluh yang lain pada hujung minggu lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!