Isu jawi: Masih banyak isu pendidikan perlu diberi fokus, kata Menteri Sabah
KOTA KINABALU - Kementerian Pendidikan seharusnya memberi fokus lebih besar kepada aspek mempertingkat kemudahan infrastruktur sekolah serta kebajikan guru dan bukan isu-isu lain termasuk pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berpendapat berkata, di Sabah misalnya masih banyak projek pembinaan sekolah dilaksanakan kementerian berkenaan dikategorikan sebagai projek sakit dan projek lewat jadual selain ada terbengkalai atau pembinaan tidak sempurna seperti tidak ada bilik guru, asrama atau kemudahan tandas.
"Terdapat 587 sekolah di Sabah dikategorikan sebagai sekolah daif dan sepatutnya ini yang harus diberi fokus penyelesaian pembaikan.
"Selain itu, masih ada kampung di luar bandar Sabah yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan kerana jarak ke sekolah memakan masa berjam-jam perjalanan kaki selain tidak mempunyai asrama bagi menampung pelajar daripada kampung yang jauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan media Kementerian Pendidikan pada 2 Ogos lepas berhubung pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 mulai tahun depan.
Ewon berkata, Kementerian Pendidikan juga harus memberi fokus kepada dasar 90 peratus guru dalam kalangan anak tempatan Sabah bertugas di negeri ini termasuk isu penyelarasan elaun wilayah dan elaun lain berkaitan penugasan guru.
Mengenai pengenalan penulisan khat, Ewon berkata, ia seharusnya dijadikan sebagai mata pelajaran pilihan dan bukannya diwajibkan kepada semua murid.
"Kementerian Pendidikan perlu mengambil kira konteks demografi Sabah dan Sarawak sebelum melaksanakannya selain ibu bapa diberikan pilihan sama ada menghantar anak mereka menghadiri kelas khat atau tidak," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!