Penjaja hina nabi dijel 30 bulan

Mahkamah sesyen menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Chow Mun Fai atas lapan pertuduhan menghina agama Islam pada Februari lalu.
Mahkamah sesyen menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Chow Mun Fai atas lapan pertuduhan menghina agama Islam pada Februari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [VIDEO] Kebiadaban seorang penjaja menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan junjungan tinggi Nabi Muhammad SAW melalui ciapan di Twitter akhirnya mendapat balasan selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama 30 bulan kepadanya, hari ini.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Chow Mun Fai, 43, yang sebelum ini telah mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam menerusi hantaran-hantaran di media sosial.

Ketika membuat keputusan itu, Edwin berkata, mahkamah tidak boleh menerima perbuatan tertuduh memberi pelbagai komen negatif terhadap agama orang lain.

"Tindakan tertuduh menghina kematian Muhammad Adib ketika seluruh negara meratapi dan berkabung dengan kematiannya adalah melampaui hak kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan.

"Tindakan menghina agama orang lain pula dilakukan secara berulang kali dan seperti telah dirancang," katanya.

Sehubungan itu, Edwin menjatuhkan hukuman penjara antara tujuh hingga 30 bulan bagi kelapan-lapan pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 6 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mun Fai didakwa membuat kenyataan yang mungkin mengapi-apikan kaum Melayu dengan bukan Melayu berhubung kematian Muhammad Adib menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil 'Alvin@Alvin15358333' pada 8.07 pagi, 13 Februari 2019.

Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Dia turut didakwa atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran yang menghina Nabi Muhammad yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam di laman media sosial yang sama pada jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac dan 13 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dia juga menghadapi empat lagi pertuduhan iaitu membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan profil Twitter sama.

Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Dia juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Semua hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada jam 8.30 malam, 3 Mac lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal mengendalikan pendakwaan manakala peguam Mohan Raj mewakili tertuduh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!