Terhidu racun: Dua anggota polis masih dirawat
KUANTAN – Dua daripada lapan anggota polis yang terlibat dalam kes pemeriksaan 15 tong dipercayai berisi bahan kimia sodium sianida di Karak, Bentong masih menerima rawatan di wad Hospital Bentong sebagai langkah pengawasan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, sebelum ini empat daripada lapan anggota tersebut ditahan di wad manakala empat lagi dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di hospital sama.
Menurutnya, dua anggota yang masih menerima rawatan dilaporkan stabil manakala dua lagi sudah dibenarkan keluar dari hospital semalam.
“Berkenaan perkembangan siasatan bahan kimia tersebut, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong masih lagi menjalankan siasatan dan kita tidak menolak kemungkinan bahan kimia ini dicuri dan hendak dijual tapi tiada pembeli maka ia disimpan di situ.
“Apabila cara penyimpanan tidak betul mungkin kimianya merebak keluar. Kebiasaannya anggota polis menjadi pihak terawal tiba di lokasi dan kemungkinan terdedah dengan bahan kimia tersebut,” katanya pada sidang media Perhimpunan Khas Ketua Polis Pahang sesi Ogos 2019 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) di sini hari ini.
Abdul Jalil berkata, pihaknya sedang bertindak untuk melupuskan bahan-bahan kimia tersebut dengan dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke Bukit Pelanduk.
Terdahulu, media melaporkan penemuan 15 tong hitam berisi bahan kimia itu yang sering digunakan dalam perlombongan emas dalam ladang kelapa sawit di Karak, Khamis minggu lalu.
Pemeriksaan JAS Pahang mendapati bahan kimia itu dalam keadaan pepejal dan sifat bahan kimia itu akan mengeluarkan gas jika bertindak balas dengan air.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kesemua bahan kimia tersebut telah dipindahkan ke pusat penyimpanan yang lebih selamat semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan dan Pelupusan Buangan Berbahaya negeri memberitahu, bacaan udara di lokasi terbabit juga telah diambil dan hasilnya mengesahkan tiada bacaan hidrogen sianida dikesan di lokasi itu.
ARTIKEL BERKAITAN Lapan anggota polis loya, muntah selepas terhidu bahan kimia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!