Deretan tiga rumah musnah dalam kebakaran
JOHOR BAHRU - Deretan tiga buah rumah di Kampung Usaha Jaya di sini musnah dijilat api dalam satu kebakaran kira-kira jam 7.22 pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Haizrul Rahmad berkata, seramai 21 anggota dengan bantuan empat jentera bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan kerja-kerja pemadaman api.
Menurutnya, dalam insiden sama, sebuah kereta jenis Perodua Kancil turut mengalami kebakaran sebanyak 40 peratus, manakala tiga buah motosikal turut musnah.
"Kebakaran telah mengakibatkan kemusnahan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan bangunan.
“Operasi pemadaman api menggunakan dua aliran, dua 'dividing breeching' dan empat pancutan sumber air pili berhampiran," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Haizrul berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Operasi kemudiannya ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 9.25 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!