Peniaga kosmetik dakwa terima wang palsu
KUALA NERUS - Seorang peniaga kosmetik dan pakaian di Wakaf Tengah di sini, mendakwa menerima sekeping not wang palsu daripada pelanggan yang datang untuk membeli barangan di premisnya.
Peniaga wanita terbabit, Azimah Aminuddin, 25, hanya menyedarinya ketika mahu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank melalui perkhidmatan Pejabat Pos Wakaf Tengah di sini semalam.
"Saya percaya pelanggan yang menggunakan wang palsu itu datang ke kedai ini pada Sabtu lalu namun saya tidak dapat mengecam siapa kerana ketika itu kedai dijaga oleh pembantu saya.
"Saya hanya tahu ia duit palsu selepas dimaklumkan kakitangan pejabat pos ketika mahu memasukkan sejumlah wang hasil berniaga ke dalam akaun Maybank semalam (Isnin)," katanya dihubungi hari ini.
Susulan itu, peniaga wanita terbabit membuat semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premisnya namun gagal untuk mengesan pelanggan yang terlibat.
"Saya gagal mengecam siapa kerana ramai pelanggan yang berurusniaga pada hari tersebut menggunakan wang not RM100," katanya yang belum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Dalam pada itu, Azimah turut berkongsi kisahnya di Facebook miliknya sebagai peringatan kepada peniaga peniaga lain dengan kehadiran pelanggan mencurigakan dan mendapat perkongsian lebih 200 kali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!