Cadang ADUN isytihar harta satu pandangan yang positif

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cadangan mewajibkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat sebagai satu usaha positif dalam pembentukan negeri yang berintegriti.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, sejak PH Johor mengambil tadbir urus kerajaan negeri pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, agenda membasmi rasuah dan penyelewengan sentiasa menjadi keutamaan parti.

Menurutnya, perkara seperti mengisytiharkan harta oleh setiap ADUN kerajaan negeri juga sudah dilakukan tetapi untuk peringkat pertama ia hanya didedahkan kepada Menteri Besar Johor sahaja.

“Pengisytiharan harta ini kita memang memandang ia sebagai satu langkah yang positif. Malah perkara berkenaan juga merupakan antara manifesto yang dikemukakan PH Johor sebelum pilihan raya lagi.

“Setelah setahun mentadbir kerajaan negeri, semua ADUN kerajaan sudah mengisytiharkan harta kepada Menteri Besar. Ia satu permulaan, jadi saranan SPRM yang mahu perkara ini diusulkan kepada mereka pula sedang dipertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Dzulkefly yang juga ADUN Kota Iskandar turut memaklumkan perbincangan mewajibkan pengisytiharan harta kepada SPRM berkenaan akan dilakukan pada mesyuarat exco kerajaan negeri yang terdekat.

“Perkara ini akan dibincangkan dan diperhalusi terlebih dahulu, jadi sekiranya kita dapat persetujuan dalam mesyuarat Exco nanti ia akan dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah SPRM Latheefa Koya mencadangkan semua ADUN perlu diwajibkan membuat pengisytiharan harta bagi mengelak perbuatan rasuah berlaku di negeri-negeri.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!