Dua kebakaran hutan babitkan keluasan 10 hektar

Tinjauan udara oleh JBPM di hutan Bukit Palas, Cherating hari ini. Gambar kecil: Nor Hisham
Tinjauan udara oleh JBPM di hutan Bukit Palas, Cherating hari ini. Gambar kecil: Nor Hisham
A
A
A

KUANTAN - Dua kebakaran hutan dilaporkan berlaku membabitkan keluasan hampir 10 hektar di hutan Bukit Palas Cherating dan Ladang Felcra Pulau Rumpun Pekan, dekat sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, kebakaran di Felcra Pulau Rumpun Pekan dikenal pasti berlaku semalam melibatkan belukar dengan anggaran seluas empat hektar di sempadan ladang.

"Tiada akses untuk jentera bomba memasuki kawasan tersebut. Oleh itu anggota bertindak memadam kebakaran dengan mengangkut air dari sumber terbuka.

"Turut membantu ialah 10 pekerja ladang tersebut yang bersama-sama anggota bomba memadam kebakaran," katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, kebakaran di Bukit Palas dianggarkan melibatkan keluasan 4.35 kilometer berlaku hari ini.

"Tinjauan udara menggunakan dron dilakukan bagi membuat pengesanan akses laluan masuk ke lokasi dan pemantauan kebakaran.

"JBPM menggunakan sumber air terbuka untuk kegunaan operasi pemadaman yang menggunakan dua pam bagi mengawal api daripada merebak," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Nor Hisham berkata, kebakaran masuk hari kedua dan pihaknya masih dalam operasi pemadaman dan pemantauan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya pada ketika ini Balok Baru mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) 120 sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia yang membuat pembakaran terbuka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!