SPRM terima lebih 50 aduan sehari: Latheefa
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima lebih 50 aduan pada setiap hari termasuklah aduan berkaitan gangguan seksual.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, aduan yang diterima terus ke pejabatnya itu perlu ditapis kerana ia melibatkan pelbagai pihak dan isu.
Menurutnya, hanya 30 peratus sahaja yang boleh dikategorikan sebagai aduan melibatkan isu rasuah.
"Yang lain adalah aduan berkaitan majlis perbandaran, masalah jalan, gangguan seksual, masalah polis, tak puas hati dengan mahkamah.
"Kita perlu tapis semua aduan kerana mereka ingat SPRM boleh menyelesaikan semua masalah itu," katanya pada Sidang Media sempena Program Eksklusif bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya di Hillview Ballroom, Pulse Grande Hotel, Putrajaya hari ini.
Latheefa berkata, itu antara isu dan cabaran SPRM kerana pihaknya bukan sahaja menerima surat terus tetapi terdapat juga aduan diterima melalui khidmat pesanan ringkat (SMS), emel dan sebagainya.
Bagaimanapun jelasnya, menguruskan semua aduan itulah yang perlu dibincangkan.
Mengulas mengenai perjumpaannya bersama wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta hari ini, beliau memaklumkan pertemuan itu untuk berbincang bagaimana cara mengambil langkah-langkah anti rasuah bagi tujuan menepati undang undang yang baharu.
Katanya, beliau percaya program itu berjaya dan bukan terhenti setakat ini tetapi akan dianjurkan lagi bagi syarikat terlibat mengetahui apa sebenarnya yang terkandung dalam Akta 17(A).
"Pada masa yang sama kita hendak melihat maklum balas dan semua maklum balas akan dibincangkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!