Najib sepatutnya tahu wang dideposit ke akaunnya: Saksi

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak - FOTO ZAHID IZZANI
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adalah mustahil bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan wang yang depositkan ke dalam akaunnya tanpa pengetahuannya.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, yang mengendalikan akaun Najib berkata, sebagai pemegang akaun, bekas perdana menteri itu sepatutnya tahu apa yang berlaku terhadap akaunnya terutamanya apabila mengeluarkan beberapa cek.

Saksi pendakwaan ke-54 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram pada hari ke-49 perbicaraan Najib melibatkan salah guna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sithambaran: Sebagai pegawai bank, melihat kepada fakta kes ini, adakah mungkin pemegang akaun menggunakan dana tanpa pengetahuan? Kamu perlu tahu yang kamu memerlukan dana (mencukupi) untuk mengeluarkan cek.

Yu: Tidak.

Sithambaran: Adakah terdapat sebarang aduan mengenai mana-mana cek yang dikeluarkan bukan daripadanya (Najib).

Yu: Tiada.

Sithambaran: Adakah Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) menggunakan cek daripada Najib?

Artikel Berkaitan:

Yu: Saya tidak tahu kerana saya tidak mengetahui semua maklumat daripada cek tetapi daripada apa yang saya lihat setakat ini, tiada.

Sirthambaran: Ada cek yang dibayar kepada Jho Low?

Yu: Tiada.

Sithambaran: Adakah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil mengeluarkan wang daripada akaun ini?

Yu: Tidak.

Sithambaran: Adalah kamu memindahkan sebarang wang untuk faedah kamu?

Yu: Saya tidak berbuat demikian.

Sithambaran juga menyoal sama ada Najib pernah bertanya mengenai sumber wang dan saksi itu menjawab: "tidak.”

Kepada soalan sama ada mungkin bagi seseorang mengetahui sekiranya terdapat RM395 juta (di dalam akaun), Yu berkata: "Jika seseorang menulis sekeping cek, dia tentunya tahu terdapat dana yang mencukupi,”

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!