Gesa pemandu teksi, e-hailing daftar SPS elak kompaun: Perkeso
KUALA TERENGGANU – Semua pemandu teksi dan e-hailing negeri ini diminta mendaftar dan mencarum Skim Pekerjaan Sendiri 2017 dengan segera bagi mengelak dikenakan kompaun selepas tempoh pemutihan tamat pada bulan lalu.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, agensi itu melancarkan Ops Patuh SPS selama sebulan bermula 1 hingga 31 Ogos nanti dengan menyasarkan para pemandu perkhidmatan teksi dan e-hailing.
Setakat ini menurutnya, Perkeso Terengganu telah mengeluarkan empat notis amaran terhadap pemandu Grab selepas dikesan gagal mendaftar dan mencarum SPS dalam operasi dijalankan sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
“Kami telah menjalankan operasi pertama semalam melibatkan 10 pegawai dan mengesan 15 pemandu Grab. Sepanjang operasi ini berlangsung, pemandu yang belum daftar akan diberi notis supaya segera mendaftar SPS dalam tempoh tujuh hari.
“Jika ingar, mereka akan dikompaun sehingga RM1,000 dan tindakan undang-undang yang membawa hukuman denda RM10,000 atau penjara dua tahun turut dikenakan sekiranya masih gagal mematuhi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Bersama Pemimpin Masyarakat, Pemimpin Kesihatan Rakyat 2019 di Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS) di sini.
Hadir sama Pengurus Besar KTS, Abel Ahing dan Pengarah Kesihatan KTS, Dr Mohamad Yusof Kassim.
Pada majlis itu, Perkeso Terengganu turut menyampaikan faedah Perkeso kepada lima penerima faedah di bawah skim Perkeso dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM29,000.
Mengulas lanjut Farihah berkata, terdapat kira-kira 1,000 pemandu teksi, e-hailing dan Grab dilaporkan beroperasi di Terengganu dan daripada jumlah itu pihaknya hanya menerima 221 pendaftaran SPS atau sekitar 20 peratus.
Angka itu katanya agak rendah dan beliau berharap pemandu perkhidmatan tersebut dapat mendaftar kerana dengan hanya caruman serendah RM157 setahun, banyak manfaat bakal diperoleh mereka sekiranya ditimpa kemalangan.
“Kesedaran kita sudah beri, tinggal dari segi mahu atau tidak (mencarum) sahaja dan kita harap dengan Ops Patuh ini jumlah yang mendaftar seterusnya mencarum akan meningkat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!