Jenayah seksual libatkan kanak-kanak, remaja membimbangkan

Suraya
Suraya
A
A
A

ALOR SETAR - Gejala sosial dan jenayah di Kedah khususnya kes-kes melibatkan remaja dan kanak-kanak amat membimbangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata, statistik One Stop Centre, Hospital Sultanah Bahiyah dalam tempoh lima bulan tahun ini menunjukkan kanak-kanak dan remaja antara mangsa seksual dan situasi ini harus ditangani segera.

Menurutnya, sejak Januari hingga Mei 2019, seramai lapan kanak-kanak berusia 0-9 tahun dicabul, manakala tiga dirogol dan dua kes diliwat.

“Manakala seramai empat kanak-kanak berusia 10-17 tahun dicabul, dirogol (40). Kes membabitkan remaja berusia 18-19 tahun merekodkan enam kes rogol, lima kes liwat dan satu kes cabul,” katanya ketika mengambil bahagian membahas usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah di Dewan Undangan Negeri Kedah, hari ini.

Suraya kesal kerana kebanyakan kes bukan berpunca daripada mangsa terutama melibatkan kanak-kanak.

“Apa nasib anak-anak kita, bagaimana kes seperti ini boleh berlaku? Amat menyedihkan, didikan agama dan akhlak mulia serta pembentukan modal insan wajar diterapkan kepada masyarakat melalui program melibatkan belia dan remaja,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir lebih setahun, program belia dan remaja tidak diperkasakan di bawah majlis belia daerah mahupun negeri.

“Mana peruntukan untuk anjur aktiviti kepada golongan ini, kita mahu lihat ia dikembalikan bawah Malaysia baharu, ketepikan politik. Sudah banyak masa terbuang yang tidak digunakan untuk manfaatkan potensi belia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Suraya turut mengingatkan kerajaan negeri agar tidak memandang remeh terhadap isu sosial kerana pembangunan negeri dipacu oleh modal insan yang berkualiti dan berakhlak tinggi.

“Saya harap semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang tunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin demi kesejahteraan Kedah. Kita tak mahu jadi seperti negara luar yang hanya pacu kemajuan tetapi tahap sosial tidak mementingkan agama serta etika moral bercanggah dengan budaya ketimuran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!