ADUN BN kesal program agama disekat dalam masjid
ALOR SETAR - Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang melahirkan rasa kesal apabila program yang dirancang dalam masjid disekat hanya disebabkan program berkenaan anjuran pembangkang.
Keluhan itu disuarakan Datuk Suraya Yaacob (BN-Sungai Tiang) apabila permohonan program Kem Solat anjuran beliau dihalang.
Menurutnya, sepatutnya aktiviti kemasyarakatan dimakmurkan dalam masjid untuk mendekatkan remaja dengan institusi keagamaan.
“Saya buntu bila Kem Solat tak dibenarkan buat di masjid, jika khutbah mungkin ada sekatan.
"Peruntukan yang kami terima disalurkan kepada rakyat melalui aktiviti seperti ini.
"Kalau diwajibkan kehadiran pegawai daerah sebagai SOP (Prosedur Operasi Standard) kita akur. Jika wakil rakyat Islam yang dipilih ini tidak layak, saya gusar dan tak terfikir berlaku di Kedah,” katanya ketika mengambil bahagian membahas usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
Suraya kesal kerana wakil rakyat pembangkang berdepan kesukaran menganjurkan aktiviti setempat dan perkara sedemikian didakwa tidak pernah berlaku ketika pemerintahan BN.
“Masa kami (BN) perintah dulu, tak ada sekatan untuk buat aktiviti dalam masjid kerana ia memakmurkan masjid,” katanya.
Perkara itu disokong Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) yang memaklumkan segelintir imam dan bilal dibayangi ketakutan dikenakan tindakan sekiranya membenarkan masjid digunakan wakil rakyat pembangkang.
“Sehinggakan ada imam takut dikenakan tindakan, yang pantau pun kadang tiada tauliah atau kelayakan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Bersatu-Guar Chempedak) mencadangkan agar permohonan program keagamaan tidak dibuat atas nama parti bagi mengelak salah faham.
Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Noor turut memohon agar kerajaan negeri memberi tafsiran berkaitan berpolitik dalam masjid, termasuk aktiviti dibenarkan serta kriteria penceramah.
“Kita harus pastikan institusi masjid bebas aktiviti politik, namun tafsiran berpolitik dalam masjid masih kabur. Mohon kerajaan negeri beri interpretasi jelas agar tidak membantutkan institusi masjid selain bersikap adil kepada semua,” katanya.
Menurutnya, sebahagian besar wakil rakyat Pas adalah ulama dan pendakwah yang sering mengadakan kuliah dan tazkirah di masjid dan dibimbangi kehadiran mereka disalah erti sebagai berpolitik dalam masjid.
“Kalau ustaz Pas hanya berkongsi ilmu agama, tak sebut suruh sokong parti pun, tak wajarlah ditafsir berpolitik dalam masjid.
"Kalau orang belah sana boleh bagi tazkirah sedangkan dia pemimpin politik atas alasan pengurusan pentadbiran, sebelah sini pula tak boleh sebab ditafsir berpolitik dalam masjid. Sepatutnya diberi hak yang sama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!