'Simpan sikap rasis kamu dalam peti ais'

Kamaruddin Sidek
Kamaruddin Sidek
A
A
A

MELAKA - Pemimpin DAP yang lantang menentang pelaksanaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) diminta menyimpan sikap rasis mereka.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, sebaliknya mereka seharusnya memberi tumpuan terhadap agenda ekonomi yang dilaungkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Menurutnya, Pas Melaka menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap perlaksanaan tulisan khat jawi di sekolah vernakular supaya diteruskan.

"Kementerian cuma perlu membuat dasar yang dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat berbilang kaum. Sebagai rakyat kita perlu akur kerana dasar pendidikan dibentuk hasil kajian menyeluruh berbanding pandangan sesetengah kelompok yang lebih kepada emosi dan sentimen perkauman.

"Saya rasa kaum yang menolak khat jawi ini menyukarkan pihak kerajaan untuk memajukan pemikiran rakyat. Saya harap pemimpin DAP yang lantang menentang itu, simpanlah sikap rasis kamu dalam peti ais, tumpulah agenda ekonomi yang kamu laungkan sebelum PRU14 lalu," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, hari ini.

Perdana Menteri, minggu lalu mengumumkan penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan.

Malah menurutnya, bantahan oleh sesetengah pihak mengenai perkara itu hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat.

Tambahnya, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!