Tun M berada di Fukuoka untuk berucap pada dua majlis syarahan

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

FUKUOKA - Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad akan berada di Fukuoka pada Rabu bagi lawatan kerja yang telah dijadualkan semula ekoran amaran taufan, untuk berucap pada dua majlis syarahan tahunan penting mengenai kepimpinan.

Dr Mahathir, yang pada mulanya dijadual berada di Fukuoka pada Selasa tetapi telah menangguhkan ketibaannya ke keesokan harinya ekoran amaran taufan, akan menyampaikan syarahan di sebuah sekolah musim panas, Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun (JFLS), pada Rabu dan di Institut Kepimpinan Kyushu- Asia (KAIL) pada Khamis.

Duta Malaysia ke Jepun Datuk Kennedy Jawan berkata Dr Mahathir menjadi penyampai utama syarahan di sekolah musim panas itu dan di KAIL setiap tahun, dan pada tahun ini, beliau membuat penampilan kali ke-16 di JFLS dan ke-15 di KAIL.

Dr Mahathir dijadual menyampaikan syarahan mengenai Bagaimana Sains dan Teknologi dapat menyumbang kepada Keamanan Dunia di JFLS dan mengenai Dilema Baru di Asia yang Tumbuh Pesat di KAIL.

"Mereka sentiasa ingin mendengar pendekatan beliau (Dr Mahathir) kepada bidang sains dan bidang-bidang lain. Mereka tahu beliau mempunyai banyak idea," kata Kennedy kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja Dr Mahathir ke Fukuoka itu pada Selasa.

Lebih 2,000 pelajar sekolah tinggi menghadiri program tahun ini di JFLS, termasuk empat dari Malaysia, katanya. Yang lain adalah dari Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Mongolia, Thailand dan China.

Lebih 100 profesional dari syarikat-syarakat berpangkalan di Kyushu, termasuk Kyushu Electric Power Company dan Japan Railways Group, dan ahli-ahli perniagaan dari wilayah Kyushu akan menghadiri syarahan di KAIL, kata beliau.

Beliau berkata Dr Mahathir akan mengambil kesempatan untuk memberi penjelasan mengenai iklim pelaburan di Malaysia serta meyakinkan mereka bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mesra pelabur.

Artikel Berkaitan:

Kennedy berkata Hiroto Izumi, yang juga penasihat khas kepada Perdana Menteri Jepun, akan melakukan kunjungan hormat terhadap Dr Mahathir.

Dr Mahathir dan Izumi, yang juga bertanggungjawab dalam hal ehwal Malaysia, dijangka menyentuh mengenai kemajuan terkini hubungan Malaysia-Jepun. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!