Thailand percaya ada dalang di sebalik siri letupan di Bangkok
BANGKOK - Pihak berkuasa Thailand percaya kumpulan dari selatan bertanggungjawab terhadap beberapa siri letupan di ibu kota ini sejak Jumaat lepas.
Timbalan Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan berkata polis percaya ada dalang di sebalik letupan itu, bagaimanapun belum dapat disahkan sama ada serangan itu bermotifkan politik.
"Insiden ini telah dirancang terlebih dahulu. Kami sedang dalam proses untuk mengesan bagaimana mereka (suspek) bergerak dan dari mana mereka mendapat bom,” katanya kepada media selepas mesyuarat mingguan kabinet di Rumah Kerajaan hari ini.
Beliau berkata polis tidak menolak sebarang motif berhubung insiden itu yang melibatkan "ramai” orang.
Prawit, timbalan perdana menteri yang bertanggungjawab dalam perkara berkaitan keselamatan, memberi taklimat kepada kabinet mengenai beberapa siri letupan semasa ibu kota ini menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Mesyuarat Menteri-Menteri dan Mesyuarat Berkaitan.
Jumaat lepas, polis menjumpai sembilan bom, termasuk beberapa peranti yang tidak meletup, di lima lokasi di Bangkok selepas berlaku beberapa letupan kecil yang mengakibatkan empat orang cedera.
Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata polis menahan tujuh suspek disyaki terbabit dalam beberapa siri letupan.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bila dan di mana tujuh suspek itu ditahan.
Katanya polis akan mempertingkatkan siasatan untuk memburu lebih banyak suspek.
Setakat ini, sembilan suspek ditahan untuk membantu siasatan. Dua lagi lelaki dari Narathiwat ditahan kerana disyaki menanam bahan letupan di kaki lima berhampiran ibu pejabat Polis Diraja Thai di Jalan Rama I di sini pada Khamis petang.
Sementara itu, Prayuth berkata beliau akan ke Yala di Selatan Thailand esok untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlarutan selama beberapa dekad itu. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!