Operasi cari Nora Anne tumpu di kawasan sungai

Beberapa orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan orang kampung dilihat keluar dari pusat peranginan Resort The Dusun Pantai Hill yang merupakan lokasi seorang pelancong dari Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dilaporkan hilang. - Foto Bernama
Beberapa orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan orang kampung dilihat keluar dari pusat peranginan Resort The Dusun Pantai Hill yang merupakan lokasi seorang pelancong dari Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dilaporkan hilang. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Pencarian Nora Anne Quoirin, 15, yang masuk hari ketiga hari ini diteruskan secara bersepadu dengan tumpuan di kawasan lereng bukit dan sungai.

Polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan serta penduduk setempat menggembeleng usaha mencari remaja Ireland itu yang hilang ketika bercuti bersama keluarganya di negara ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusof berkata semua unit polis telah digerakkan termasuk Unit Anjing Pengesan dan Unit Senoi Praaq bermula 7.30 pagi membabitkan kekuatan 178 anggota.

Tumpuan pencarian masih di sekitar kawasan sekeliling resort berkenaan seluas empat hektar (12 ekar) dan dipecahkan kepada empat sektor. Pencarian turut dibuat melalui tinjauan dari udara.

"Kami rasa tempat di atas (bukit) kami dah cuba cari banyak kali dan kalau secara logiknya, dia (mangsa) tidak akan naik lagi dan cuba turun ke kaki bukit mencari air.

"Jadi mulai petang ini dan sehingga malam, kami akan fokus kepada kawasan sungai di bawah. Setakat ini tiada maklumat yang tepat yang kami dapat dan setakat pukul 5 ini, keputusan negatif," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad berkata anjing pengesan yang digunakan dalam operasi itu juga hanya dapat menjejaki bau mangsa pada hari pertama operasi dan sejauh 100 meter dari chalet yang diduduki remaja itu.

"Pada hari berikutnya, bau semakin lama semakin hilang. Kami percaya Nora Anne masih berada di kawasan sekitar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad berkata pihaknya masih mengklasfikasi kes kehilangan Nora Anne itu sebagai orang hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata PDRM telah melakukan empat kali tinjauan udara sepanjang operasi pencarian dilakukan bermula pukul 9 pagi.

"Selain pencarian di darat, kami juga menggunakan helikopter bagi pemantauan daripada udara," katanya.

Pada 4 Ogos lepas, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada jam 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor pula dalam kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebar atau berkongsi sebarang berita tidak benar mengenai kehilangan remaja itu, demi menjaga sensitiviti keluarga dan bagi mengelak spekulasi yang boleh menjejaskan usaha pencarian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!