Beruang matahari berkeliaran di Gua Musang
KOTA BHARU- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memasang perangkap bagi menangkap seekor beruang Matahari yang dilihat berkeliaran di Felda Perasu, Gua Musang, 4 Ogos lalu.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata perangkap telah dipasang di lokasi yang dinyatakan penduduk pada jam 2 petang semalam.
Beliau berkata sebaik menerima aduan, sepasukan anggota Perhilitan Gua Musang telah melakukan siasatan dan mendapati terdapat kesan haiwan liar berkenaan di lokasi yang dinyatakan penduduk.
"Siasatan awal mendapati hidupan liar tersebut berkeliaran berhampiran rumah pengadu. Susulan daripada itu, pihak jabatan telah memasang satu unit perangkap bertujuan menangkapnya sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ady Ermanty berkata walaupun perangkap sudah dipasang namun pemantauan berterusan oleh anggota Perhilitan juga sedang dilakukan.
"Beruang Matahari ini dipercayai keluar dari hutan dan berkeliaran untuk mendapatkan makanan disebabkan sekarang ini musim buah-buahan," katanya.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!