UPSR tidak perlu dimansuhkan tapi ditambah baik
SHAH ALAM - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak perlu dimansuhkan namun ia wajar ditambah baik supaya bersesuaian dengan pendidikan semasa dan perkembangan teknologi terkini.
Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa berkata, sekiranya ia dihapuskan, murid-murid tidak akan memiliki fokus dalam pembelajaran.
"Mungkin ia perlu dirombak bukan dimansuhkan itu pandangan saya.
"UPSR adalah satu penilaian yang sepenuhnya berdasarkan peperiksaan tanpa menilai elemen-elemen yang lain sepanjang tempoh pembelajaran murid-murid. Jadi ia perlu ditambah baik dengan mengambil kira semua aspek untuk dimasukkan ke dalam skema pemarkahan UPSR," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: NUTP mohon UPSR dimansuhkan
ARTIKEL BERKAITAN: Murid akan jadi lebih malas jika mansuh UPSR: iGuru
Pada masa sama, beliau berpandangan cadangan tanpa kajian dianggap sebagai perkara yang tidak relevan.
"Mana-mana institusi pendidikan, kalau nak tahu sama ada pelajar menguasai ilmu atau tidak kita perlu laksanakan penilaian. Kalau pergi sekolah memandu pun perlu ada penilaian sebelum layak dapat lesen.
"Pada pandangan saya, cadangan tersebut harus disertakan dengan kajian jika tidak saya anggap ia dianggap ia satu cadangan yang tidak relevan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!