'Bandar hantu' muncul di China
BEIJING - Penduduk di bandar Huai'an kelmarin gempar dengan kemunculan 'bandar hantu' di kaki langit.
Penjelmaan pelik itu dapat dilihat pada waktu tengah hari di atas Tasik Hongze di wilayah Jiangsu di timur China.
Bangunan purba cina dengan bumbung melengkung, pokok dan turbin angin gergasi adalah antara imej menakutkan yang dapat dilihat menerusi kabut di tasik itu.
Jiangsu News Broadcast melaporkan penduduk turut berpusu-pusu ke lokasi terbabit untuk melihat sendiri pemandangan luar biasa yang berlangsung kira-kira setengah jam di bahagian barat daya tasik air tawar keempat terbesar di China berkeluasan 2,069 kilometer persegi itu.
Jurugambar dikenali sebagai Chen Kai berkata, dia melihat imej tersebut selepas hujan.
"Saya boleh melihat bangunan purba termasuk menara gerbang oktagon, tembok bandar dan struktur kediaman penduduk," jelasnya.
Menurutnya lagi, dia masih belum mengetahui tapak asal imej refleksi tersebut.
Difahamkan, bandar hantu itu hanyalah imej maya yang merupakan satu bayang ilusi yang biasa berlaku ketika cuaca lembap.
Fenomena itu berlaku apabila kelembapan di udara menjadi lebih panas berbanding suhu air.
Oleh kerana, sinaran matahari menembusi udara lebih sejuk ke dalam udara lebih panas, ia terbias lalu menghasilkan refleksi di udara.
Corak dalam imej maya itu biasanya kabur dan berkilau menyerupai bayang-bayang dilihat dalam air.
Pengarah Muzium Tasik Hongze, Pei memberitahu, imej ilusi seperti itu pernah muncul di wilayah itu pada 1950-an dan 1960-an.
Imej maya yang baru muncul itu adalah yang paling jelas pernah direkodkan di kawasan tersebut.
Rakaman 'bandar hantu' itu telah mencetuskan sensasi dalam kalangan pengguna media sosial tempatan berikutan ramai yang cuba untuk mengenal pasti struktur dalam ilusi optik tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!