Durian organik pertama di Pahang
JASIN - Menyedari penggunaan baja dan racun perosak secara berlebihan dalam aktiviti pertanian boleh menjejaskan kesihatan, Gapam Eco Farm mengambil inisiatif mempraktikkan konsep ladang organik.
Ladang seluas 12 hektar di Gapam, Jasin yang baru dikerjakan sejak setahun lalu berjaya dimanfaatkannya sebagai lokasi bagi penggemar durian dengan pelbagai jenis pokok durian seperti D24, D123, D99, D13, musang king, kanyou dan udang merah, selain buah-buahan lain antaranya cempedak, pisang, nanas serta rambutan.
Pemiliknya, Chong Kim Kong, 60, berkata, Gapam Eco Farm bakal menjadi dusun durian organik pertama di negeri ini selepas membuat permohonan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) dengan konsep tanaman tanpa penggunaan baja sintetik sebagai salah satu inisiatif menarik minat penggemar durian.
Menurutnya, konsep tanaman organik digunakan bagi menghasilkan buah dengan kualiti terbaik meskipun kosnya agak tinggi, namun masih menampung penjagaan melibatkan kira-kira 320 batang pokok durian di sekitar kawasan itu.
"Sebelum ini, saya mempunyai sebuah ladang durian di Machap, Alor Gajah yang telah saya gunakan konsep organik dan sejak ambil alih ladang ini, saya turut menggunakan kaedah yang sama di sini.
"Apa yang saya harapkan, dapat menjadi pengusaha dusun organik yang diiktiraf dengan hasil tani berkualiti tinggi di negeri ini," katanya.
Kim Kong berkata, perniagaan itu diuruskan bersama ahli keluarganya termasuk isteri, Diane Leong, 58.
Bagaimanapun katanya, pertanian tersebut tidak memfokuskan pengeksportan hasil ke luar negara, sebaliknya menggalakkan penggemar durian menikmati raja buah itu di Gapam Eco Farm.
Menurutnya, dia lebih berminat untuk menarik pelancong khususnya dari luar negara seperti Korea, Hong Kong, Taiwan dan China datang ke dusun untuk menikmati durian organik yang lebih segar dan lebih beraroma, selain kehadiran mereka ke negeri ini dapat meningkatkan sektor pelancongan tani (agro pelancongan).
Malah katanya, kedudukan Gapam Eco Farm berdekatan bandar dan plaza tol juga diharap menjadi nilai tambah dalam menjadikan dusun tersebut sebagai pelancongan tani, secara tidak langsung membantu menggalakkan kemasukan pelancong ke Melaka.
"Gapam Eco Farm ini semakin mendapat sambutan dan menerima tempahan untuk acara berkumpulan bermula jam 11 pagi hingga 6 petang dengan pakej istimewa serta menawarkan sajian bufet, pencuci mulut durian dan sate ayam organik.
"Bagi mereka yang ingin mengadakan lawatan dusun, kami menyediakan pakej termasuk manisan durian, air kelapa dan buahan-buahan segar untuk dinikmati," katanya sambil menjelaskan harga raja buah itu bergantung kepada jenis dan nilai pasaran.
Difahamkan, durian organik bukan sahaja beraroma sedap dan lazat, malah baunya tidak terlalu kuat dan tidak memberi kesan 'panas badan' walaupun makan dalam kuantiti banyak terutama bagi penggemar durian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Mohd Rasydan Mohd Yusop berkata, pihaknya sedang dalam proses mengeluarkan sijil myOrganic kepada Gapam Eco Farm, sekali gus menjadikannya dusun durian organik pertama di negeri ini.
"Kita menyambut baik kaedah organik yang digunakan, namun kos baja yang digunakan mereka agak tinggi dan pihak Jabatan Pertanian akan cuba membantu menyediakan khidmat bimbingan bagi membuat baja sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!