Terkilan usul pemelukan agama Islam tidak disokong

Rizam dan Suee Lim
Rizam dan Suee Lim
A
A
A

SABAK BERNAM - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor melahirkan rasa terkilan berikutan kegagalan usul pindaan undang-undang berkaitan pemelukan agama Islam yang sepatutnya dibawa dan dibincangkan di Sidang DUN.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, usul yang mahu dibawa Menteri Besar, Amirudin Shari amat penting dan mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kita hairan bagaimana 50 ADUN PH (Pakatan Harapan) di negeri ini tidak boleh membawa usul yang amat dikehendaki Tuanku (Sultan Sharafuddin) dalam sidang DUN.

"Saya beranggapan, kegagalan ini tentu mengecewakan baginda sebagai ketua agama di negeri ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim sepatutnya meneruskan usul terbabit agar dapat dibahaskan dalam DUN Selangor.

Katanya, kegagalan membawa usul itu menunjukkan ketidaksefahaman dalam kalangan ADUN PH.

"Mereka bersefahaman melibatkan sesetengah perkara sahaja, selebihnya tidak wujud persefahaman yang jelas terutama melibatkan isu memperkasa institusi agama Islam," katanya.

Beliau menegaskan, pembangkang berpendirian teguh menyokong sebarang usul dibawa kerajaan membabitkan pemerkasaan institusi Islam di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita bukan hendak gubal enakmen agama lain dan mereka kena faham bahawa usul yang dibawa itu berkaitan pemerkasaan agama Islam," katanya.

Sementara itu, Suee Lim berkata, beliau enggan mengulas lanjut pelbagai tuduhan dilemparkan pembangkang.

"Saya tetap berpegang bahawa DUN Selangor mengendalikan mesyuarat dengan tertib serta mengikut cara dan peraturan tetap sedia ada," katanya.

Ditanya dakwaan pembangkang menyatakan berlaku ketidaksefahaman antara ADUN PH, Suee Lim menegaskan, perkara tersebut sengaja diperbesar pihak pembangkang.

"Kita ada persefahaman yang baik dan soal pembangkang itu memang kerja mereka yang cuba mencari kelemahan pimpinan PH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!