Mansuh skim bantuan hanya tambah beban rakyat
YAN - Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil dilihat bakal menambahkan derita rakyat.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Datuk Abd Lateh Mohd Saman berkata, rakyat ketika ini sudah sedia terbeban dengan kejatuhan harga komoditi seperti kelapa sawit dan getah.
Menurutnya, jika skim bantuan berkenaan pula dimansuhkan, ia sudah tentu akan menyebabkan rakyat berdepan kesulitan khususnya dalam menghadapi kenaikan kos barangan harian.
"Kos keperluan harian juga dilihat tidak pernah menurun membuatkan pekebun kecil kelapa sawit dan getah menghadapi kesukaran," katanya dalam satu kenyataan hari ni.
Menurut Abd Lateh, tindakan kerajaan untuk tidak melaksanakan skim bantuan berkenaan jelas menunjukkan bahawa tanaman komoditi utama tersebut tidak digalakkan oleh kerajaan.
Beliau juga turut meminta kerajaan memikirkan nasib rakyat sekiranya keputusan diteruskan.
"Mereka yang selama ini percaya dan yakin kepada masa depan komoditi ini dan sanggup menunggu selama tiga hingga tujuh tahun untuk mendapat hasil berkecai sekelip mata," katanya.
Abd Lateh berkata, usaha kerajaan untuk memasarkan produk-produk berkenaan juga dilihat tidak bersungguh dan tindakan pihak terlibat menghentikan bantuan tanam semula menggambarkan kerajaan tidak lagi yakin dengan masa depan industri ini.
"Kerajaan bukan sahaja perlu terlebih dahulu memperkenal produk baharu tapi yang lebih penting ialah mereka perlu membimbing masyarakat dengan ilmu dan budaya baharu," katanya.
Terdahulu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim mengumumkan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak
Beliau berkata, skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!