Polisi ekonomi baharu perlu merangkumi cabaran ekonomi hari ini
SHAH ALAM - Dasar dan polisi ekonomi baharu negara tidak boleh dibentuk tanpa meneliti dan mengambil kira beberapa aspek termasuklah pengalaman lalu, kejayaan dan cabaran-cabaran ekonomi yang ada pada hari ini.
Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Noor Azlan Ghazali berkata, menidakkan dimensi etnik di dalam perancangan pembangunan dan ekonomi negara secara ad hoc atau mendahului penilaian disifatkan sebagai pramatang.
"Polisi baharu perlu dinilai dan reka bentuknya perlu bersesuaian dengan keadaan ekonomi masa kini dan akan datang.
"Dalam proses ini, ia perlu diteliti dan dinilai terlebih dahulu sebelum ia dibentuk," katanya kepada Sinar Harian.
Semalam Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin membuat kenyataan bahawa dasar baharu berkaitan ekonomi negara perlu berteraskan kepada pendekatan berasaskan keperluan bukan lagi menumpu kepada isu perkauman saja.
Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, dalam merangka dasar baharu itu sebaiknya ia dimulakan dengan memahami perbezaan antara hak dan keperluan memandangkan ia telah bercampur aduk dan mengelirukan.
"Elemen perekonomian Bumiputera menjurus kepada hak yang digariskan dalam Perlembagaan. Pastinya proses memenuhi hak Bumiputera mesti dilaksanakan dengan adil, telus dan turut digarab dengan matlamat meningkatkan keupayaan dan berdaya saing.
"Hak tidak boleh disamakan dengan memenuhi keperluan dan tidak boleh dipersoalkan mengapa. Malah ia juga tidak boleh ditakrifkan sebagai diskriminasi kerana itu hak yang diwarisi," katanya.
Jelas beliau, perlu ada polisi jelas bagaimana hak Bumiputera di penuhi, dikekal dan diperkukuhkan dan ia harus diasingkan dengan polisi afirmatif untuk semua rakyat Malaysia.
"Perancangan pembangunan untuk negara mesti menggariskan perkara ini dengan jelas. Ini konteks ekonomi Malaysia. Polisi untuk Bumiputera mesti ada dan direkabentuk dengan sebaiknya untuk mengelakkan manipulasi dan kepentingan yang tidak adil.
"Manakala polisi afirmatif untuk semua rakyat tanpa membezakan kaum sewajarnya berasaskan keperluan di mana perlu ada kriteria yang jelas dan reka bentuk polisi yang tidak membawa kepada salahguna dan manipulasi," katanya.
Tambah beliau, perekonomian yang mengambil kira faktor kaum mesti dilihat sebagai langkah untuk menjadikan polisi lebih khusus dan meningkatkan keberkesanan serta kejayaan polisi.
"Faktor kaum masih relevan untuk Malaysia dalam konteks sejarah dan demografi Malaysia. Tidak perlu takut, malu dan rasa bersalah. Apatah lagi kalau ada faktor khusus etnik yang perlu ditangani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!