Tun M tiba di Fukuoka untuk lawatan kerja
FUKUOKA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Fukuoka hari ini selepas menjadualkan semula lawatan kerjanya ke wilayah ini berikutan amaran taufan.
Dr Mahathir yang pada mulanya dijadualkan berada di Fukuoka pada Selasa tetapi terpaksa menjadualkan ketibaannya pada hari berikut ekoran amaran taufan itu mendarat di Lapangan Terbang Fukuoka kira-kira 7 pagi Rabu (6 pagi di Malaysia) dan tiba di hotel penginapan beliau kira-kira 7.45 pagi.
Dr Mahathir mempunyai jadual yang padat semasa lawatan dua hari itu.
Program beliau di Fukuoka akan bermula kira-kira sejam selepas ketibaannya di hotel (9 pagi waktu Jepun) dengan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Antarabangsa Jepun (IUJ) bagi menghargai sumbangan beliau ke arah kejayaan membangunkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun.
Beliau kemudian akan mengunjungi Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun (JFLS) di Bandaraya Munakata, kira-kira sejam perjalanan berkereta dari Fukuoka untuk menyampaikan syarahan mengenai 'Bagaimana Sains dan Teknologi boleh Menyumbang kepada Keamanan Dunia' di sekolah musim panas itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!