Kemuka dokumen palsu dapatkan tender kementerian
KUANTAN - Empat pemilik syarikat dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung pemalsuan penyata akaun dan tandatangan bertujuan mendapatkan kontrak pembersihan dari sebuah kementerian.
Pemalsuan dokumen itu terbongkar selepas pihak bank mendapati cop dan tandatangan pada penyata yang dikemukakan palsu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, hasil semakan terhadap penyata akaun yang dikemukakan syarikat terbabit juga mendapati jumlah wang pada penyata itu tidak sama dengan jumlah sebenar wang dalam bank.
Menurutnya, menyedari wujud cubaan menipu dengan pemalsuan dokumen itu, satu laporan polis dibuat penolong pengurus sebuah cawangan bank di sini, semalam.
"Berdasarkan laporan diterima daripada pegawai bank terbabit, dia menerima surat dari sebuah kementerian pada 24 Julai lalu untuk semakan pengesahan kesahihan penyata akaun semasa bagi pemegang akaun bank atas nama empat syarikat bagi tempoh Januari sehingga Mac 2019", katanya.
Mohd Wazir berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan syarikat berkenaan cuba memperdayakan kementerian terlibat dengan mengemukan penyata akaun dan tandatangan palsu untuk mendapatkan kontrak kerja yang ditawarkan.
"Kita buka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!