Sistem tender terbuka lebih adil
Pengagihan kontrak secara terbuka dan saringan lebih telus yang diamalkan kerajaan sekarang telah memberi peluang yang adil kepada kontraktor di negara ini.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, sistem tender terbuka yang diamalkan kerajaan sekarang jauh lebih baik daripada kerajaan terdahulu.
“Dulu kontraktor perlu lalui banyak halangan dan ada segelintir yang tidak bertanggungjawab mengenakan ‘tol’ untuk mendapatkan terus projek. Tetapi sekarang mereka tidak perlu melaluinya lagi kerana tender dibuat secara terbuka.
“Sekarang kontraktor hanya perlu masuk tender dan sekiranya memenuhi spesifikasi yang betul, peluang mereka untuk dapatkan projek pasti cerah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tidak timbul isu kontraktor Bumiputera terpaksa gulung tikar ekoran tidak boleh cari ‘makan’ sejak bertukar kerajaan.
“Saya rasa mereka (kontraktor) lebih selesa dengan dasar baharu kerajaan sekarang yang mengamalkan konsep terbuka.
”Banyak peluang dan projek diberikan kepada kontraktor kecil khususnya kelas G1 dan G2 di semua negeri dan daerah termasuk kawasan pedalaman,” katanya.
“Penambahbaikan yang dibuat kerajaan kini dapat memberi manfaat kepada semua kelas kontraktor apabila projek besar dipecah-pecahkan kepada kecil.
“Jadi, semua kelas kontraktor dapat bahagian masing-masing mengikut kepakaran dan kemahiran yang mereka miliki,” katanya.
Menurutnya, sistem tender terbuka yang dipraktikkan kerajaan baharu ini berjaya menepis sikap tamak kontraktor yang mahu ‘bolot’ semua projek.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sekiranya kerajaan melaksanakan sistem tender terbuka secara betul, ia pasti menjimatkan sumber kewangan kerajaan.
Namun, katanya, sistem terbuka itu tidak semestinya seragam untuk setiap kelas kontraktor.
“Bergantung kepada situasi dan demografi kontraktor dalam kelas-kelas tertentu, mungkin sistem yang diperkenalkan perlu mengambil kira faktor-faktor ini supaya tiada kontraktor yang akan terjejas,” katanya.
Difahamkan, ada kontraktor tempatan didapati merungut apabila syarikat kontraktor antarabangsa diberi peluang dalam projek itu.
Azman sebagaimana dilaporkan dalam sebuah media arus perdana menyatakan, PKBM masih menunggu pertemuan dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berhubung kuota khas dalam kerja-kerja sivil projek ECRL.
Menurut Azman, pihaknya akan terus berusaha berjumpa dengan Wakil Khas Perdana Menteri itu untuk rundingan semula projek mega ECRL bersama kerajaan China itu bagi membincangkan semula berhubung penglibatan kontraktor Bumiputera di dalam projek mega tersebut.
Dalam laporan media terdahulu, kontraktor tempatan mampu tersenyum sekiranya kerajaan memberikan sekurang-kurangnya 20 peratus kuota khas untuk terlibat dalam kerja-kerja sivil projek ECRL itu nanti.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan harapan lebih daripada itu kepada mereka di mana dalam kenyataannya, beliau berkata, pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
Demi masa depan kontraktor juga, tindakan efektif dan berterusan persatuan hendaklah jadi orang tengah mendapatkan nilai tambah kepada ahlinya, tidak salah sekiranya berbincang mengenai sesuatu projek terutama yang berpotensi, kerana bidang ini sememangnya mempunyai 1,001 macam masalah bukan sahaja hal tender tetapi melibatkan kemahiran, tenaga kerja dan sokongan kerajaan.
Bagi mengetahui lebih lanjut tentang isu kontraktor ini, saksikan Bicara Minda bersama Menteri Kerja Raya, Baru Bian pada 8 Ogos ini, jam 3 petang di Dewan Karangkraf Shah Alam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!