IPOH - Kertas siasatan berhubung kes rogol melibatkan seorang Exco kerajaan Perak akan dibawa kepada pengarah pendakwaan negeri hari ini untuk tindakan lanjut. Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Yusof berkata, setakat ini pihaknya telah memperoleh laporan perubatan daripada hospital berhubung perkara berkenaan. "Kita percaya pihak pendakwaan negeri akan mengangkat perkara ini ke Putrajaya untuk tindakan seterusnya. "Apa pun setakat ini, kita masih menunggu jawapan," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan. Pada perhimpunan bulanan berkenaan, Razarudin turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada Kor Kadet Polis Perak yang muncul juara keseluruhan sempena perkhemahan di Bukit Beruntung baru-baru ini. Sementara itu, Razarudin yakin polis akan dapat mengenal pasti pihak serta individu yang terbabit dalam kes samun barang kemas bernilai RM1juta baru-baru ini. "Kita masih lagi dalam siasatan, Insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan berjaya kenal pasti," katanya.ARTIKEL BERKAITAN Exco Perak nafi rogol pembantu rumah