Remaja Ireland hilang: Keluarga tidak mahu diganggu
SEREMBAN - Sejak hari pertama sehingga hari ini ahli keluarga remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang Ahad lalu di sebuah resort di Pantai di sini, masih enggan ditemubual media.
Keluarga itu juga kelihatan tidak senang apabila gambar mereka cuba dirakam di lokasi dan meminta supaya tidak berbuat demikian.
"Jangan (ambil gambar). Bagaimana jika perkara ini terjadi kepada keluarga kamu," katanya sambil berlalu.
Terdahulu, lelaki terbabit bersama empat individu lain dipercayai ahli keluarga mangsa diiringi seorang wanita tempatan dilihat berjalan kaki keluar dari kawasan resort menghala ke arah Gunung Berembun sebelum terserempak dengan sekumpulan petugas media di sini.
Bagaimanapun, tujuan mereka ke sana tidak diketahui.
Sementara itu, lebih 20 petugas media tempatan dan antarabangsa berada di jalan masuk resort sejak awal pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan terbaharu operasi dijalankan.
Beberapa kenderaan polis termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilihat memasuki lokasi pencarian, namun pihak media tidak dibenarkan masuk dan hanya boleh menunggu di pintu masuk resort.
Semalam, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, polis dijangka akan mengadakan sidang media jam 3 petang ini berhubung kes tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kehilangan remaja Ireland cetus misteri, kata Tok Batin
Kronologi kehilangan Nora Anne Quoirin
Kes remaja Ireland: Muhyiddin gesa guna kenyataan rasmi sahaja
Kes remaja Ireland: Usah sebar, kongsi berita tidak benar
Hutan kawasan resort Nora Anne hilang terlalu tebal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!