Getha beri Zoo Negara RM50,000 bantu tampung keperluan diet orang utan
Pengarah Pembangunan Perniagaan Getha, Amelia Tan berkata, sumbangan tersebut bagi menampung keperluan diet lima ekor orang utan spesis Borneo dan Sumatra yang ditempatkan di Zoo Negara.
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bersempena ulang tahun ke-50 Getha dalam menyokong usaha pemuliharaan orang utan di negara ini.
"Kerjasama dengan Zoo Negara adalah peluang terbaik untuk mempelajari ekologi, memahami diet pemakanan, penjagaan dan tabiat haiwan demi kepentingan pemuliharaan dan mewujudkan ekosistem yang mampan untuk generasi akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Pengarah Perhubungan Awam, Pemasaran, Perkhidmatan Pelanggan dan Pendidikan Zoo Negara, Linda Salim di Zoo Negara petang semalam.
Getha juga merupakan keluarga angkat kepada lima ekor orang utan spesis Borneo termasuk seekor spesis Sumatra yang diberi nama sebagai Gunta, Kathy, Manja, Punky dan Choki yang berusia antara 10 hingga 29 tahun.
Terdapat sembilan ekor orang utan iaitu empat dari spesis Borneo dan lima Sumatra yang ditempatkan di Zoo Negara.
Menurut World Wildlife, orang utan diklasifikasikan sebagai haiwan terancam.
Sementara itu Linda berkata, seekor orang utan memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM13,000 setahun bagi menampung keperluan dietnya. Ia tidak termasuk kos perubatan dan program yang lain.
"Kami amat berbesar hati menerima sumbangan daripada Getha dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Zoo Negara dibuka secara rasmi pada 14 November 1963 menempatkan lebih daripada 5,137 spesis haiwan terdiri daripada 476 spesis mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!