Batal skim bantuan tanam semula tambah penderitaan rakyat
YAN - Pengumuman Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim untuk tidak melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil disambut dengan penuh kesedihan.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keputusan itu bakal menambahkan lagi penderitaan pekebun kecil di seluruh negara.
"Masyarakat yang terlibat dengan komoditi itu sudah pun tertekan dengan harga yang terus menurun di samping kos sara hidup yang meningkat.
"Dengan tiba-tiba sahaja golongan ini dikejutkan dengan penarikan bantuan tanaman semula sedangkan skim ini sudah pun lama diwujudkan sejak pemerintahan BN (Barisan Nasional)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, BN pada tahun 2018 memperuntukkan RM140 juta untuk pekebun kecil sawit dan RM200 juta untuk pekebun kecil getah.
"Semangat atau roh bantuan ini diperkenalkan BN bertujuan membantu golongan berpendapatan kecil yang semata-mata bergantung hidup dengan tanaman sawit dan getah.
"Usaha ini dibuat tanpa mengira kaum asalkan mereka adalah pekebun kecil, mereka layak menerima bantuan ini," katanya.
Jamil berkata, kerajaan perlu memahami bantuan ini adalah pada tempoh sawit dan getah yang sudah menjangkau usia tua.
"Ia bukannya bersifat tahunan dan ini juga sebagai menghargai keringat dan sumbangan pekebun kecil kepada ekonomi negara di samping mengekalkan Malaysia sebagai salah sebuah pembekal sawit dunia.
"Kita gesa PH batalkan keputusan ini dan kembalikan bantuan kepada pekebun kecil yang sedia tertekan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi skim bantuan tanaman semula: Teresa Kok
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!