Polis tambah kekuatan anggota SAR kesan Nora Anne
NILAI - Polis menambah kekuatan anggotanya kepada 206 orang dalam operasi hari ke empat mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, operasi pencarian yang bermula seawal jam 7 pagi itu turut dibantu enam anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) terbabit hari ini.
“Operasi disertai polis, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Turut serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perhutanan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat jam 11 pagi ini operasi masih diteruskan dan satu sidang media mengenai perkembangan operasi akan diadakan pada jam 3 petang ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 72 jam berlalu, Nora Anne masih belum ditemui
Terdahulu, Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama ibu bapanya dari London pada Sabtu lalu untuk percutian dua minggu, sebelum dilaporkan hilang pada Ahad lepas.
Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!