Dua tan daun ketum dirampas di Laloh
KUALA KRAI - Taktik penyeludup ketum menggunakan lori tertutup bagi menyembunyikan daun ketum gagal apabila kegiatan mereka berjaya dikesan polis di Laloh di sini.
Taktik itu kesan selepas polis menahan dua lelaki dan merampas kesemua 221 plastik hitam berisi daun ketum bernilai RM60,000 kira-kira jam 8.15 pagi Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, suspek dipercayai menggunakan laluan baharu membawa ketum dari Kedah melalui Gua Musang ke Kota Bharu, berbanding laluan Jeli.
"Kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 27 tahun ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Laloh oleh pasukan peronda yang mengesyaki suspek membawa barang salah.
"Setelah mendapati lori tersebut membawa muatan ketum, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai untuk siasatan lanjut," katanya.
Wan Fauzi berkata, siasatan awal mendapati 2,015kg ketum terbabit adalah untuk pasaran tempatan.
"Pemandu berusia 27 tahun mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah di Batu Melintang, Jeli sementara penumpang berusia 31 tahun mempunyai rekod jenayah di Bukit Yong.
"Kedua-dua lelaki itu direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.
Rampasan pagi Isnin lalu juga adalah yang terbesar di Kuala Krai tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!