'Kami reda pemergian Amirul Ashraff'
TAIPING - "Kami reda, dah nasib arwah anak sulung harapan keluarga tapi nak buat macam mana."
Itu luahan Md Azhar Hasbullah, 48, bapa kepada pelajar Malaysia, Amirul Ashraff, 22, yang maut selepas tergelincir dari tingkat 23 pangsapuri kediamannya di Sydney, Australia, semalam.
Menurut Md Azhar, anak sulung daripada tiga beradik itu merupakan pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di University Technology Of Sydney dan dijangka tamat pelajaran serta pulang ke tanah air pada Februari tahun depan.
"Saya masih tidak percaya atas apa yang menimpa anak saya sebab kami baru sahaja berbual melalui telefon 30 Julai lalu. Ketika itu sambutan hari jadi dia dan dia kedengaran seperti biasa sahaja.
"Tahu-tahu sahaja petang semalam pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) hubungi memaklumkan anak saya terjatuh dari pangsapuri kediamannya dan meninggal dunia. Luluh hati saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tekah, di sini hari ini.
Md Azhar berkata, dia ada menerima tawaran daripada MARA untuk membawanya ke Sydney bagi menguruskan jenazah Amirul Ashraff, tetapi dia menolak atas faktor kesihatan dan tidak mempunyai kekuatan untuk ke sana.
"Saya tidak sanggup ke sana kerana sampai hari ini lutut saya masih lemah, nak berjalan pun susah selepas mendengar perkhabaran bahawa anak sulung harapan keluarga sudah tiada.
"Biarlah saya duduk di sini menunggu jenazahnya dibawa pulang. Saya harap jenazah Amirul Ashraff dapat dibawa pulang segera," katanya.
Menurutnya yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kali terakhir dia dan isteri, Zunaidah Ahmad, 46, bertemu Allahyarham Amirul Ashraff adalah ketika dia pulang bercuti musim panas November tahun lalu sehingga Februari tahun ini.
"Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah saya sempat menghantar dia untuk mengambil lesen kereta sepanjang dia bercuti dan menghantarnya pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Penuntut Malaysia maut jatuh pangsapuri di Australia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!