Insiden polis bawa pesalah seperti 'hamba' cetus kemarahan
TEXAS - Insiden polis berkuda di Texas, Amerika Syarikat (AS) bawa pesalah kulit hitam dalam keadaan tangan terikat cetus kemarahan kerana didakwa seperti 'zaman perhambaan'.
Ketua Polis Galveston, Vernon Hale, memohon maaf selepas gambar menunjukkan dua anggota berkudanya membawa seorang pesalah kulit hitam yang bergari dan diikat tali menjadi tular.
Gambar berkenaan mencetuskan kemarahan ramai dan ia mengingatkan kembali kepada zaman gelap di AS di mana hamba dirantai dan orang kulit hitam dibunuh sewenang-wenangnya.
Menurut Hale, Donald Neely yang ditahan Sabtu lalu kerana menceroboh sepatutnya dibawa ke balai dengan kereta polis namun hanya anggota polis berkuda yang berada di lokasi kejadian.
Neely terpaksa berjalan kaki dalam keadaan bergari dan berikat dengan tali sambil diiringi dua anggota polis.
"Pertamanya, saya memohon maaf kepada Encik Neely susulan insiden memalukan ini.
"Walaupun ia merupakan teknik terlatih dan mungkin sesuai digunakan dalam senario tertentu, anggota kami seharusnya membuat penilaian lebih baik dalam situasi ini," kata Hale sambil menambah dasar telah diubah agar teknik tersebut tidak lagi akan digunakan.
Kenyataan Haley yang dikeluarkan Isnin lalu di laman Facebook mencetuskan kemarahan dan beberapa kumpulan aktivis menganggap respons beliau sebagai 'lemah'.
Terdapat juga gesaan agar anggota polis yang terbabit dikenakan hukuman atau dipecat kerana memalukan Neely.
Insiden terbabit turut menarik perhatian calon Presiden Demokrat, Beto O'Rourke.
"Insiden ini memerlukan akauntabiliti dan keadilan kerana sejujurnya ia berkaitan perkauman," tulis O'Rourke di Twitter. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!