Boleh guna laluan berkembar Paya Terubong mulai Ogos 2020

Jagdeep (tengah) dan Zairil (dua kanan) melawat tapak projek hari ini.
Jagdeep (tengah) dan Zairil (dua kanan) melawat tapak projek hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Laluan berkembar di Jalan Paya Terubong di sini yang sudah siap 78 peratus dijangka boleh digunakan pada Ogos tahun hadapan.

Exco Kerja Raya dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, projek pembangunan segmen ketiga di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu dijadualkan siap sepenuhnya pada akhir Julai 2020.

"Kemajuan sebenar projek adalah 78 peratus berbanding 86 peratus yang sepatutnya (jika mengikut jadual). Kita perlu menghentikan projek ini selama 100 hari selepas diarahkan susulan kejadian tanah runtuh pada 19 Oktober tahun lalu.

"Kerja-kerja hanya disambung semula pada 28 Februari lalu selepas diluluskan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Julai 2020," katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Jagdeep yang ditemani Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang melawat tapak projek jalan berkembar tersebut di sini.

Menurutnya, projek terbesar MBPP setakat ini dengan kos pembinaan RM275.6 juta itu dan pengguna jalan raya hanya akan dibenarkan menggunakan jalan ini pada Ogos tahun depan.

"Kos pengambilan tanah adalah RM83.51 juta, manakala kos khidmat perunding adalah RM11 juta. Pada tahun ini, MBPP memperuntukkan sebanyak RM44.2 juta dan RM37.36 juta bagi tahun depan.

"Projek tersebut melibatkan empat bahagian termasuk bahagian pertama dan kedua membabitkan pelebaran Lebuhraya Thean Teik (bawah MBPP) sudah siap sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jalan berkembar di Jalan Paya Terubong dijangka boleh digunakan pada Ogos tahun hadapan.
Jalan berkembar di Jalan Paya Terubong dijangka boleh digunakan pada Ogos tahun hadapan.

Jagdeep berkata, bahagian kedua adalah di bawah sebuah syarikat pemaju swasta, namun syarikat tersebut mengalami masalah kewangan.

"Ia kini diambil alih syarikat Aspen Group dan kemajuan projek mencapai 12 peratus dengan kos RM120 juta. Sementara itu, bagi bahagian ketiga yang bernilai RM150 juta di bawah syarikat PLB Land Sdn Bhd mencapai kemajuan kerja 15 peratus.

"Kedua-dua bahagian ini meliputi jarah sejauh 2.2km bagi menghubungkan Jalan Bukit Kukus dan Lebuh Bukit Jambul dengan panjang keseluruhan 5km," katanya.

Sementara itu, Zairil berkata, kerja struktur bertingkat bagi jalan sambungan Jalan Tun Sardon sedang dijalankan di tapak tersebut iaitu penyediaan 'form traveller'.

"Penyediaan 'form traveller' untuk kerja-kerja konkrit 'segmental box girder', manakala di bahagian jajaran utama jalan berkembar kini dijalankan pembinaan struktur jalan bertingkat dan 'berm'.

"Selain itu, kerja geoteknikal juga sedang dijalankan iaitu peletupan batu terkawal, pemotongan cerun, penstabilan cerun dengan kaedah 'soil nailing' dan 'guniting' serta kerja pembinaan sistem perparitan," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kerja-kerja ini dijalankan dengan baik, jabatan-jabatan terlibat sentiasa mengadakan lawatan dan pemantauan.

Projek laluan berkembar Jalan Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus) bermula pada 14 Januari 2016 bagi menghubungkan Lebuhraya Thean Teik, Bandar Baru Ayer Itam ke Lebuh Bukit Jambul, Relau bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Dalam tragedi 19 Oktober lalu, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus manakala tiga lagi cedera apabila 13 kontena yang dijadikan tempat tinggal pekerja tapak ranap ditimpa tanah runtuh.

Lokasi kejadian runtuhan tanah ini berada kira-kira 500 meter dari lokasi insiden runtuhan rasuk yang berlaku dua minggu sebelum itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!