Laluan utama mendap, rosak

Batu kasaran yang bersaiz besar membahayakan penduduk kampung terutamanya penunggang motosikal.
Batu kasaran yang bersaiz besar membahayakan penduduk kampung terutamanya penunggang motosikal.
A
A
A

JERLUN - Penduduk di Kampung Matang Mahang di sini merayu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menurap semula jalan utama di kampung mereka.

Seorang penduduk, Yusuf Ali, 68, berkata, jalan berkenaan mulai rosak sejak projek Muda III dijalankan Januari lalu.

Katanya, jalan terbabit makin teruk dari hari ke hari apabila lori tanah dan simen ulang alik melalui jalan berkenaan.

"Kami tak ada bantahan, nak lalu, lalu saja. Tapi jalan kami buat bagi elok balik, dah nak dekat setahun dah ni.

"Dua minggu lepas depa ada mai tambun dengan batu kasaran, tapi tak selesai masalah juga sebab batu tu tak tahan lama dan berbahaya untuk penunggang motosikal," katanya, ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, bukan sahaja jalan raya mendap dan rosak, malah paip air yang ada juga pecah.

"Semua penduduk kena baiki sendiri, sekarang ini pun ada tiga tempat yang paip air tak dibaiki lagi. Penduduk juga kena panggil SADA (Syarikat Air Darul Aman).

"Sekiranya masih berlarutan, tahun depan kami cadang kepada MADA supaya tak benarkan lori muatan berat lalu jalan kampung kami lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Aishah Musa, 60, berkata, batu kasaran yang ditambun itu turut mengancam keselamatan penduduk.

"Yang naik motosikal selalu hilang kawalan dan terbabas, sebab tergelincir dengan batu tu.

"Kasihan orang kampung, ada yang jatuh tergelincir sampai luka-luka. Jadi harap pihak bertanggungjawab dapat turap jalan kampung kami dengan segera supaya kami dapat hidup dengan lebih selesa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Muhammad Zamri Abu Seman berkata, beliau kesal kerana tiada tindakan segera dilakukan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Jalan ini sepanjang kira-kira tiga kilometer dan menjadi laluan utama penduduk kampung ini dan juga kampung berdekatan.

"Sejak projek ini berjalan saya terima banyak aduan daripada penduduk kampung yang mengadu kereta mereka rosak, jatuh motosikal dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, dia sangat risaukan keselamatan penduduk terutama menjelang sesi persekolahan Januari depan.

"Saya harap tindakan segera dapat diambil pihak berkaitan supaya jalan kampung kami dapat dibaiki dan diturap dengan segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!