Penganggur, pesara ditipu babitkan RM13,220

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penganggur mengalami kerugian RM6,930 dipercayai terpedaya dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 32 tahun itu tertarik dengan tawaran pada iklan pinjaman wang tersebut di laman Facebook.

Menurutnya, mangsa yang berminat untuk meminjam wang berjumlah RM7,000 itu kemudiannya meninggalkan nombor telefon pada iklan di Facebook tersebut.

"Mangsa dihubungi seorang lelaki yang mengaku sebagai ejen dari syarikat pinjaman tersebut. Ejen itu kemudiannya telah meminta mangsa untuk membayar wang proses pinjaman tersebut secara berperingkat.

"Mangsa yang terperdaya dengan janji manis ejen tersebut telah membuat bayaran RM6,930 ke dalam dua akaun bank berbeza. Mangsa hanya sedar ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan walaupun telah membayar jumlah wang tersebut untuk pinjaman RM7,000," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, yakin dirinya terperangkap dengan sindiket penipuan, mangsa terus membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kes berasingan, seorang pesara turut mengalami kerugian berjumlah RM6,290 dipercayai terperdaya sindiket Macau Scam.

Dalam kejadian semalam, mangsa yang berusia 54 tahun itu telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, lelaki tersebut memberitahu mangsa bahawa restoran miliknya mempunyai tunggakan bayaran elektrik.

"Kerana takut diambil tindakan, tanpa berfikir panjang, mangsa terus ke bank berhampiran dan membuat transaksi ke akaun bank seperti yang diarahkan lelaki tersebut. Mangsa telah membuat dua transaksi ke dua akaun bank dalam tempoh satu hari melibatkan wang keseluruhan RM6,290.

"Mangsa yang ketakutan dan terkejut membuat transaksi tersebut tanpa merujuk kepada TNB terlebih dahulu. Bagaimanapun, akhirnya lelaki tersebut menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis," katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!