Nelayan asing didenda lebih RM1 juta
KUALA TERENGGANU - Seorang tekong dan 17 kru nelayan warga asing dikenakan denda lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan menangkap ikan di perairan negara tanpa permit sah.
Hakim, Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 53 tahun dari Vietnam itu mengaku salah setelah pertuduhan dibacakan.
Tertuduh, Le Minh Chau, 41, sebagai tekong dikenakan denda sebanyak RM400,000 atau setahun penjara, manakala 17 kru yang lain masing-masing didenda RM40,000 atau enam bulan penjara.
Jika mereka gagal membayar denda terbabit, mahkamah memerintahkan tempoh penjara dikira dari tarikh jatuh hukum iaitu hari ini dan selepas itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Mereka didapati menangkap ikan di perairan perikanan negara tanpa permit sah, lebih kurang jam 3.36 petang di atas vesel penangkapan ikan asing pada jarak 80.4 batu nautika perairan Kuala Terengganu pada 14 Mac lalu.
Dengan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a)Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan dihukum mengikut Seksyen 25(a) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh hendaklah didenda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang dalam hal empunya atau nakhoda dan tidak melebihi RM100,000 bagi setiap kru.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela Suhaimi Ismail.
Berdasarkan fakta kes, penguatkuasaan Maritim menahan sebuah vesel nelayan asing (Vietnam) di perairan Perikanan Malaysia iaitu 80.4 batu nautika dari Perairan Kuala Terengganu, kira-kira jam 3.36 petang 14 Mac lalu.
Hasil pemeriksaan dijalankan, terdapat 18 lelaki antaranya seorang tekong yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan beberapa peralatan menangkap ikan.
Kesemua tertuduh kemudian ditahan dan peralatan serta hasil tangkapan ikan dilelong oleh APMM sebanyak RM16,800 dirampas.
Mahkamah turut mengarahkan vessel, peralatan komunikasi dan navigasi, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan laut seberat 24 tan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!