'Buat kerja, fokus kepada rakyat'
KUALA LUMPUR - "Buat kerja, beri keutamaan dan fokus kepada isu rakyat".
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, itu antara pesanan dan amanat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada ahli Parlimen, Senator, Menteri Besar dan Menteri Persekutuan dari Bersatu pada perjumpaan tertutup parti itu semalam.
Amanat itu disambut baik oleh semua yang hadir sambil terus menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri dan pengerusi parti itu, katanya.
"Perjumpaan semalam adalah rutin, perjumpaan dua bulan sekali. Kita bincang agenda perkasa parti dan kukuhkan kerajaan,” kata Timbalan Menteri Luar itu kepada Bernama.
Semalam, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilapor memuatnaik tweet berkaitan perjumpaan tertutup Dr Mahathir bersama kepimpinan tertinggi Bersatu di Putrajaya.
Perjumpaan yang berlangsung dalam suasana santai itu turut membincangkan pendirian parti berkenaan isu-isu semasa, kata Marzuki.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!