Jemaah haji terkandas: Imbas pasport keluar muka orang lain

Siti Esah antara 26 jemaah tidak dapat mengerjakan ibadah haji musim ini berikutan masalah tiket dan visa semasa di KLIA hari ini. - Foto Bernama
Siti Esah antara 26 jemaah tidak dapat mengerjakan ibadah haji musim ini berikutan masalah tiket dan visa semasa di KLIA hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - ''Bila imbas pasport keluar di skrin muka orang lain," kata Sabariah Osman salah seorang 26 jemaah rakyat Malaysia yang terkandas di Jeddah sejak Isnin lalu kerana memiliki visa Furada haji palsu.

Sabariah, 60-an antara 26 jemaah haji yang terkandas berkata, dia merasa terkilan tidak dapat menunaikan rukun Islam kelima kerana memiliki visa palsu.

"Saya membayar pakej ini dengan harga RM33,000 namun masih tidak dapat menunaikan haji pada kali ini, tetapi saya anggap semua ini ketentuan dari ALLAH," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menceritakan situasi di sana, Sabariah yang berasal dari Pulau Pinang berkata, apabila tiba di kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, pegawai imigresen itu berkata visanya memaparkan wajah yang berbeza.

"Pegawai itu turut bertanya tarikh lahir saya memandang ia tidak sama dengan maklumat yang dipaparkan pada visa yang saya miliki itu," katanya.

"Bila tanya jemaah lain juga kata ada muka bertukar jadi milik orang Indonesia, Nigeria dan warganegara lain," katanya.

Sabariah berkata, beliau merasakan syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours tidak melakukan penipuan susulan kejadian yang menimpa beliau dan jemaah yang lain.

"Saya tidak salahkan agensi tapi rasakan perkara ini berlaku kerana silap di pihak sana (Arab Saudi)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Siti Esah bersama Rosmah Osman (kanan) menangis kesedihan tidak dapat mengerjakan haji musim ini berikutan masalah tiket dan visa semasa di KLIA hari ini. - Foto Bernama
Siti Esah bersama Rosmah Osman (kanan) menangis kesedihan tidak dapat mengerjakan haji musim ini berikutan masalah tiket dan visa semasa di KLIA hari ini. - Foto Bernama

Pada masa yang sama, Sabariah turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas layanan pihak kedutaan Malaysia di sana dan Tabung Haji.

Dalam pada itu, difahamkan selain 26 yang terkandas di Jeddah, 36 orang lagi jemaah di bawah pengurusan syarikat sama tidak mendapat tiket penerbangan dan visa haji terkandas lebih awal di KLIA.

Salah seorang yang terkandas di KLIA, Siti Esah Hussain, 65, berkata, pihaknya hanya mendapat tahu bahawa beliau tidak mendapat visa dan tiket penerbangan pada Isnin lalu.

"Saya berada di KLIA sejak Isnin kerana diberitahu pihak syarikat tentang tawaran haji di saat akhir di bawah kuota Raja Salman untuk 20 orang dengan syarat perlu membayar tambahan caj sebanyak RM7,000," katanya.

"Sejurus mendengar tawaran itu pada Sabtu lalu, saya terus membayar kepada syarikat tersebut tanpa berfikir panjang kerana hati saya memang ingin sangat melakukan haji pada tahun ini," katanya.

Siti Esah berkata, pihaknya akan melakukan laporan polis sekiranya pihak syarikat tidak membuat bayaran semula segala bayaran dan kos yang telah keluarkan.

Difahamkan jemaah haji di bawah syarikat telah membayar sekitar RM30,000 hingga RM50,000 untuk mendapatkan visa haji Furada.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah haji terkandas: Agensi uruskan jemaah buat laporan polis

Sekumpulan 26 rakyat Malaysia terkandas di Jeddah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!