Rafidah gesa henti bicara soal peralihan kuasa PM

Rafidah
Rafidah
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menegaskan kenyataan berulang kali berkaitan peralihan kuasa Perdana Menteri tidak mendatangkan sebarang kebaikan melainkan menyebabkan ketidaktentuan dalam negara.

Menurutnya, semua pihak perlu berhenti membicarakan soal berkenaan dan memberi peluang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri kerana beliau memerlukan masa untuk melaksanakan dasar kerajaan.

"Kesemua kita tidak patut sibuk (bercakap tentang) peralihan (jawatan perdana menteri). Marilah berhenti bercakap tentang isu ini kerana ada pihak di luar sana - pelabur, orang yang berpotensi menjadi rakan niaga tidak pasti ke mana arah kita (negara).

"Masalah peralihan (kuasa) telah dikenal pasti sebagai salah satu punca ketidaktentuan ini," katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Wacana Perdana Siri 21 bertajuk Team Factors Impending Malaysia Economic Progresss And How To Overcome Them di Yayasan kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, kenyataan berulang kali berkaitan isu tempoh jawatan Perdana Menteri hanya akan membuatkan rakyat berasa 'meluat'.

Katanya, fokus sekarang sepatutnya tertumpu kepada usaha kerajaan dalam menunaikan kewajipan dan berikan ruang secukupnya bagi kerajaan menjalankan kerja-kerja untuk rakyat.

Dr Mahathir sebelum itu mengulangi janji akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tiba masanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu wawancara dengan media Turki, TRT World, Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan sesekali memungkiri janji itu.

“Saya takkan memungkiri janji saya sendiri. Apa saja yang berlaku, saya akan kekal dengan janji yang dibuat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!